Selangor bakal perketat prosedur pengurusan tanah, elak manipulasi: MB

Kerajaan negeri juga akan mengambil tindakan disiplin terhadap mereka yang terlibat mengikut tata kerja dan peraturan disiplin perkhidmatan awam

4:23 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kerajaan Selangor akan memperketat prosedur pengurusan tanah di negeri itu bagi menutup sebarang ruang manipulasi susulan insiden pemindahan milik tanah secara tidak sah yang berlaku di Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Klang.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata walaupun insiden itu dikatakan berlaku sekali sahaja di PTD berkenaan, kerajaan negeri memandang serius kelemahan dalam sistem sedia ada.

“Kesalahan ini dilakukan ketika peralihan pengurusan tanah secara biasa (manual) kepada digital (e-tanah) dan ia bukan selalu dibuat, sekali sahaja. 

“Tetapi kita akan menitikberatkan peningkatan prosedur seperti proses keluar masuk data supaya ruang untuk memanipulasikan sistem dapat ditutup sepenuhnya,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak Projek Green House di Kebun Komuniti Kampung Baru Batu Caves dan Taman Batu Caves di sini hari ini. 

Amirudin berkata kerajaan negeri juga akan mengambil tindakan disiplin terhadap mereka yang terlibat mengikut tata kerja dan peraturan disiplin perkhidmatan awam. 

“Langkah ini termasuk mengadakan siasatan dalaman (domestic inquiry) melalui jawatankuasa disiplin, tetapi biar pihak berkuasa menjalankan siasatan terlebih dahulu. Jika terbukti bersalah, kita akan menyusuli tindakan selepas itu,” katanya.

Beliau berkata setakat ini, hanya PTD Klang dikenal pasti terlibat dalam kegiatan berkenaan namun kerajaan negeri tidak menolak kemungkinan wujud kes serupa di pejabat tanah lain.

“Ia bukan satu kerja mudah dan tidak mungkin dilakukan seorang diri. Kemungkinan terdapat komplot antara beberapa individu termasuk daripada jabatan IT atau jabatan lain.

“Ini termasuk pegawai yang mengenal pasti senarai tanah lapangan, unit IT yang mengubah data, dan beberapa individu lain. Semua ini bergerak bersama, ia tak boleh diselesaikan dengan seorang sahaja terlibat,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan polis membongkar kegiatan memindah milik tanah secara tidak sah membabitkan ‘orang dalam’ di PTD Klang dan membawa penahanan 17 individu, sejak September lepas kerana disyaki terbabit kartel berkenaan membabitkan tanah seluas 9.4 hektar bernilai RM7.1 juta.

Sementara itu, Projek Green House berkenaan adalah sebahagian daripada Program Pengukuhan Keterjaminan Makanan 2024, bertujuan memperkenalkan teknologi pertanian inovatif dalam meningkatkan pengeluaran makanan secara tempatan. 

Ketua Pengarah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata projek dilaksanakan di 50 lokasi terpilih seluruh negara dengan teknologi yang diperkenalkan ialah Microfarm dan Greenkit yang menggunakan konsep pengairan sendiri untuk meningkatkan produktiviti tanaman dalam ruang terhad.

Selain tidak memerlukan tenaga elektrik kerana hanya bergantung pada tekanan graviti untuk pengairan, sistem ini juga dilengkapi dengan struktur pelindung hujan dan jaring kalis serangga untuk melindungi tanaman daripada cuaca ekstrem dan serangan perosak. 

Ia sekali gus membolehkan pekebun menghasilkan sayur-sayuran segar dengan kualiti lebih baik serta mengurangkan kos sara hidup dan bergantung kepada sumber makanan lebih selamat serta berkualiti. – 26 Januari, 2025

Topics

 

Hangat

FashionValet a loss-making entity before and after Khazanah, PNB’s RM47 mil investment

GLICs bought stakes in 2018, company records show total RM103.3 million losses after tax from 2017 to 2022

Dublin-based M’sian child psychiatrist who groomed, sexually abused teen jailed for 8.5 years

Amirul Arif Mohd Yunos pleads guilty to six charges of sexual crimes against minor, banned from practising the field in Ireland from now on

Regulating social media to protect children is a multi-agency effort, groups tell MCMC

Children’s issues cover many facets thus their digital rights and freedom of expression must not be restricted in the process of licensing platforms  

Related