KUALA LUMPUR – Ramai individu dan syarikat bergantung sepenuhnya kepada sistem digital untuk urusan harian mereka tetapi kelemahan dalam sistem keselamatan siber sering dieksploitasi oleh penipu untuk mengakses data peribadi atau akaun kewangan.
Dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini, Malaysia menyaksikan peningkatan ketara dalam jenayah kewangan, dengan kerugian mencecah anggaran RM3 bilion.
Keinginan untuk menstabilkan kewangan seringkali mendorong individu membuat keputusan cepat tanpa berfikir panjang, menjadikan mereka lebih terdedah kepada risiko penipuan.
Penipu sering mengambil kesempatan atas keinginan ini dengan menawarkan skema pelaburan palsu atau panggilan palsu dari pihak bank, menjanjikan pulangan segera dengan menggunakan teknik yang lebih kompleks dan sukar dikesan.
Tiga taktik utama yang sering digunakan adalah pertama, mereka mencipta rasa kecemasan dengan membuat mangsa berfikir tawaran itu hanya untuk masa terhad atau mendesak pembayaran segera untuk mengelakkan akibat buruk.
Kedua, mereka cuba mengasingkan mangsa dengan melarang berkongsi maklumat dengan orang lain, seperti keluarga atau rakan, dengan alasan ia adalah pelaburan rahsia.
Akhir sekali, mereka meminta bayaran menggunakan cara yang tidak biasa seperti Bitcoin, kad hadiah, atau transaksi tanpa perlindungan, menyukarkan mangsa untuk mendapatkan kembali wang mereka.
Kes penipuan yang melibatkan kehilangan wang dalam jumlah besar selalunya berlaku tanpa disedari mangsa.
Sering kali, mangsa hanya menyedari sesuatu yang tidak kena apabila kerugian sudah terlalu besar.
Ini kerana kebanyakan orang tidak kerap menyemak akaun bank atau laporan kewangan mereka secara terperinci.
Dalam sesetengah kes, transaksi kecil yang tidak disedari boleh membawa kepada kerugian besar apabila digabungkan.
Tekanan ekonomi tidak seharusnya menjadi alasan untuk kita mengambil risiko yang tidak perlu tetapi ramai yang terdesak mencari peluang untuk meningkatkan pendapatan lalu terjerumus kerana terpedaya dengan janji manis dan peluang cepat kaya. Ramai yang masih terperangkap kerana penyamaran tersebut dilakukan dengan sangat meyakinkan.
Menurut Dr. Heather Sequeira, pakar psikologi dan trauma, perasaan malu yang dialami oleh mangsa penipuan sering kali serupa dengan trauma yang dialami oleh mangsa keganasan rumah tangga atau jenayah seksual, di mana mereka sering dipersalahkan.
Kajian dalam British Journal of Criminology juga menunjukkan persamaan yang ketara antara taktik manipulasi penipu dan pendera dalam kes keganasan rumah tangga.
Sequeira menjelaskan, seperti mana mangsa keganasan rumah tangga mungkin berfikir, “Salah saya sebab saya yang benarkan dia masuk,” kadang-kadang mangsa penipuan mungkin berkata, “Saya tak baca betul-betul” atau “Saya yang tandatangan ataupun klik iklan tersebut.”
Perasaan malu ini, katanya, akan “menutup diri” dan menghalang mangsa daripada mendapatkan bantuan yang boleh membantu mereka untuk sembuh dari trauma ini.
Sebagai respon kepada isu yang semakin meruncing ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) tampil menangani krisis ini dengan pendekatan menyeluruh yang menumpukan kepada pencegahan, pemantauan, dan pendidikan awam.
Salah satu strategi utama MCMC dalam menangani penipuan atas talian adalah dengan memperkukuhkan rangka kerja keselamatan siber negara.
MCMC bekerjasama rapat dengan penyedia perkhidmatan telekomunikasi untuk memastikan infrastruktur digital diperkuatkan bagi melindungi pengguna daripada menjadi mangsa penipuan seperti phishing, ransomware dan malware yang sering digunakan untuk mencuri maklumat peribadi.
Selain itu, MCMC juga meningkatkan usaha untuk menghalang akses kepada laman web atau platform yang dikaitkan dengan aktiviti penipuan.
Dengan kerjasama daripada penyedia perkhidmatan internet (ISP), MCMC mengenal pasti dan menutup laman-laman web yang digunakan oleh penipu, sekali gus menyukarkan skim penipuan untuk terus berleluasa.
Usaha pemantauan digital oleh MCMC memainkan peranan penting dalam mengesan dan mencegah penipuan sebelum ia menyebabkan kerugian kewangan.
MCMC memantau platform atas talian, termasuk media sosial dan laman e-dagang, untuk mengesan sebarang aktiviti mencurigakan. MCMC bekerjasama dengan pihak polis dan pihak berkuasa lain untuk menjejaki corak komunikasi dan transaksi yang tidak normal, bagi menangkap penjenayah siber.
Bagi menghadapi ancaman yang semakin berkembang, MCMC menggunakan analitik data dan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Teknologi ini membolehkan MCMC menganalisis data dalam jumlah yang besar dan mengenal pasti tanda-tanda awal seperti percubaan phishing, laman web palsu, dan iklan mencurigakan yang sering memerangkap mangsa.
Pelbagai kempen kesedaran dilancarkan untuk memberi maklumat kepada rakyat mengenai bahaya penipuan atas talian. Aplikasi SemakMule oleh MCMC membolehkan pengguna menyemak sama ada akaun mereka terlibat dalam aktiviti penipuan ataupun kesahihan transaksi.
Melalui fokus kepada pencegahan, pemantauan, dan pendidikan, MCMC memainkan peranan penting dalam mengekang peningkatan penipuan kewangan di Malaysia.
Namun, dengan penipu yang semakin canggih, kerjasama berterusan antara badan penguatkuasaan, pihak berkuasa, dan orang awam adalah penting untuk memerangi jenayah siber. – 29 Januari, 2025