KUALA LUMPUR – Polis menahan tiga lelaki berusia 20 hingga 30 tahun kerana disyaki terlibat dalam kegiatan menjual dadah semasa konsert Pinkfish Countdown 2024 di Bandar Sunway, pada malam ambang tahun baharu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, mereka ditahan di sekitar Selangor pada 8 hingga 12 Januari lalu, termasuk seorang yang berada di konsert tersebut.
“Polis hampir menyelesaikan siasatan kes itu. Ketiga-tiganya adalah pengedar dadah skala kecil ketika konsert,’’ katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan kempen keselamatan jalan raya dan advokasi sempena perayaan Tahun Baharu Cina di Plaza Tol PJS 2, Lebuhraya Baru Pantai (NPE), di sini, hari ini.
Pada 18 Januari lalu, polis mengesahkan kandungan darah dalam tujuh mangsa termasuk empat yang meninggal dunia selepas menghadiri konsert Pinkfish Countdown 2024 di Bandar Sunway pada malam sambutan Tahun Baharu itu mempunyai kandungan dadah dalam darah mereka.
Ketua Polis Subang, Wan Azlan Wan Mamat berkata, ia berdasarkan laporan daripada Jabatan Kimia.
Wan Azlan juga memberitahu polis sudah merakam keterangan daripada 52 orang saksi yang terdiri rakan-rakan individu yang maut serta petugas di konsert tersebut. lepas.
Terdahulu, Hussein memberitahu semua tujuh mangsa tidak hadir bersama-sama di konsert tersebut tetapi hadir secara berasingan dengan kawan-kawan dan ahli keluarga masing-masing.
Malah, katanya, individu dipercayai menjual pil berkenaan pada harga RM50 sebiji, yang selalunya dijual dalam pakej dengan tiga pil berharga RM100.
Namun katanya, tidak dinafikan ada pengunjung yang membelinya dari luar dan ada yang membeli dalam premis berkenaan.
Dalam pada itu, ketika mengulas lanjut, Hussein turut memberitahu polis akan berusaha mengetatkan syarat penganjuran konsert dari segi muzik, jumlah pengunjung, tempat penganjuran, keluasan tempat dan kesediaan penganjur menyediakan pasukan ‘first aid’ sekiranya berlaku kecemasan.
“Penganjur juga perlu maklumkan kepada hospital yang berhampiran dan paling penting polis akan meletakkan pasukan narkotik untuk mengelak dan membanteras sebarang penyalahgunaan dadah termasuk pengedaran di dalam konsert,” katanya.
“Polis hampir menyelesaikan siasatan kes itu. Ketiga-tiga pengedar dadah skala kecil ketika konsert dengan penjualan secara individu termasuk seorang itu yang berada ketika konsert berlangsung,” katanya. – 25 Januari, 2025