MRCB Land usaha sama bina Hospital Putra 2, pacu hab pelancongan perubatan baharu Melaka

Pembangunan hospital 300 katil itu akan diikuti fasa yang memenuhi keperluan kesihatan, pemulihan, penjagaan warga emas, hotel dan peruncitan untuk mewujudkan pusat perubatan dan gaya hidup bersepadu

3:03 PM MYT

 

KUALA LUMPUR — MRCB Land Sdn Bhd akan terlibat dalam pembinaan sebuah hospital baru di Melaka untuk disewakan kepada Putra Specialist Hospital (Melaka) Sdn Bhd, dengan rancangan pengembangan masa depan untuk membangunkan hab kesihatan dan gaya hidup bersepadu serta meningkatkan pelancongan perubatan di Melaka.

MRCB Land dan PM Multilink telah membentuk syarikat usaha sama dinamakan Majestic Quest Sdn Bhd, dengan 70:30% kepentingan, bagi melaksanakan pembangunan Hospital Putra 2 yang terletak di Mukim Bukit Baru di Melaka Tengah.

MRCB Land Sdn Bhd adalah anak syarikat milik penuh Malaysian Resources Corporation (MRCB), manakala PM Multilink Sdn Bhd adalah anak syarikat Perbadanan Melaka.

Perjanjian usaha sama dengan pemegang saham itu diadakan di Mandarin Oriental Hotel, di sini semalam.

Majlis menandatangani perjanjian semalam disaksikan (berdiri, dari kiri) Pengarah Urusan Kumpulan MRCB Datuk Imran Salim, Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Azhar Arshad, Ketua Menteri Melaka dan Pengerusi Melaka Corp Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, dan Penasihat Undang-undang Negeri Melaka Khairul Azreem Mamat. Duduk (dari kiri), Pengerusi MRCB Land Tan Sri Mohd Annuar Zaini, Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Corp Datuk Mohd Yusof Abu Bakar, Pengarah Multilink Mohd Nazimuddin Mohamad dan Pengerusi Majestic Quest Kwan Joon Hoe. – Gambar ihsan MRCB Land, 25 Januari, 2025

Lokasi hospital yang dicadangkan adalah dalam jarak 6km dari tol Ayer Keroh dan 2km dari Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka.

Ia akan mudah diakses kerana kedudukannya yang berhampiran dengan mercu tanda dan infrastruktur utama, menjadikannya mercu tanda kesihatan dan gaya hidup yang strategik, kata MRCB dalam satu kenyataan semalam.

Ketua Menteri Melaka yang juga Pengerusi Melaka Corporation, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata Hospital Putra merupakan langkah penting dalam perjalanan Melaka untuk menjadi destinasi pelancongan perubatan dan penjagaan kesihatan yang utama.

“Pembangunan ini selaras dengan visi kami untuk memupuk pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat kami,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan MRCB, Datuk Imran Salim, mengalu-alukan peluang untuk MRCB menyumbang kepada infrastruktur kesihatan negeri.

“Usaha sama ini mencerminkan komitmen MRCB untuk menangani keperluan kesihatan masyarakat yang semakin meningkat sambil menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan Melaka.

“Hospital Putra bukan sahaja akan menyediakan rawatan perubatan yang canggih tetapi juga mewujudkan peluang untuk pendidikan, penyelidikan, dan pembangunan ekonomi,” katanya.

Gambaran artis menunjukkan pelan induk pembangunan Hospital Putra 2 yang akan menjadikannya hab penjagaan kesihatan dan gaya hidup bersepadu. – Gambar ihsan MRCB Land, 25 Januari, 2025

Fasa pertama pembangunan Hospital Putra akan meliputi 3.23 hektar dan merangkumi kemudahan pelbagai disiplin dengan “Pusat Kecemerlangan” khusus untuk perkhidmatan Jantung dan Ortopedik.

Ia akan bermula dengan 300 katil, dengan ruang untuk pengembangan lanjut, dan kira-kira 100 suite perundingan bersama dengan ruang untuk perkhidmatan sokongan seperti Makmal dan Patologi.

MRCB menganggarkan kos pembangunan kasar untuk fasa pertama ialah RM520 juta. Fasa pembangunan seterusnya akan menyaksikan kemudahan pelengkap dibina, seperti hotel, kawasan runcit dan komersial, pusat pemulihan dan kesejahteraan, pusat penjagaan warga tua, asrama, dan unit kediaman berkhidmat.

“Kemudahan tambahan ini bertujuan untuk mewujudkan destinasi kesihatan dan gaya hidup yang komprehensif, memperkayakan komuniti sekitar sambil mengukuhkan kedudukan Melaka sebagai hab kesihatan serantau,” kata MRCB.

Kumpulan itu juga menyatakan keyakinan bahawa projek itu bukan sahaja akan memenuhi keperluan kesihatan negeri, tetapi juga mewujudkan lebih banyak peluang untuk pekerjaan, pendidikan, penyelidikan dan pembangunan ekonomi. – 25 Januari, 2025

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Related