KUALA LUMPUR – Sebuah syarikat pastri dan pengarahnya didakwa di dua Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 14 tuduhan menggunakan logo halal palsu dalam isu ‘sandwic ham’ yang tular awal bulan ini.
Syarikat berkenaan membekalkan 366 sandwic pelbagai jenis perisa di sebuah kedai serbaneka di Universiti Malaya (UM).
Bagaimanapun tertuduh, Ewe Sarn Yeun, 65, dan syarikatnya, Shake And Bake Cafe Sdn. Bhd. mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh dan Noor Ruzilawati Mohd. Nor.
Berdasarkan enam pertuduhan, Ewe, yang juga berstatus Pemastautin Tetap (PR) Amerika Syarikat (AS) didakwa menawarkan membekalkan 366 produk makanan sandwic yang diperihalkan dengan menggunakan logo halal Malaysia untuk menunjukkan makanan itu boleh dimakan orang Islam dengan cara bertentangan dengan Perenggan 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.
Produk sandwic itu melibatkan 50 Mixed Tuna Sandwic, 43 Mixed Potato Sandwic, 77 Mixed Chicken Sandwic, 74 Egg Mayo Sandwic, 66 Ham & Cheese Sandwic dan 56 Chili Crabstick Sandwic.
Kesalahan berkenaan didakwa dilakukan di Shake and Bake Cafe Sdn. Bhd.di Sunway Damansara, di sini pada pukul 12.50 tengah hari, 10 Januari lalu.
Ewe didakwa mengikut Perenggan 8(b) perintah yang sama yang boleh dihukum di bawah Perenggan 8(B) perintah yang sama, memperuntukkan denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
Bagi kesalahan yang kedua atau berikutnya, didenda tidak melebihi RM250,000 atau dipenjarakan maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Shake and Bake Cafe Sdn Bhd, yang diwakili Ewe sebagai pengarah juga tidak mengaku salah atas enam tuduhan di lokasi, tarikh dan waktu sama.
Tuduhan itu dibuat mengikut Perenggan 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, yang memperuntukkan denda maksimum RM200,000, manakala bagi kesalahan kedua atau berikutnya, didenda tidak melebihi RM500,000, jika sabit kesalahan.
Selain itu, Ewe dan syarikat berkenaan juga didakwa mengikut Seksyen 100 Akta Cap Dagangan 2019 (Akta 815) di bawah Seksyen 102(1)(c) akta sama yang boleh dihukum Seksyen 102(1)(i) dan Seksyen 102(1)(ii) akta sama bagi pengarahnya
Di bawah Seksyen 102 (1)(i), akta berkenaan memperuntukkan hukuman denda maksimum RM15,000, manakala Seksyen 102 (1)(ii) akta itu memperuntukkan denda sehingga RM10,000 bagi setiap barang yang dipakaikan cap dagang berdaftar itu secara salah, atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Shafiq Mahadi dan Hakiim Izani manakala tertuduh dan syarikat itu diwakili peguam Hamdan Hamzah serta Azura Mokhtar.
Mahkamah membenarkan Ewe dan Shake And Bake Cafe diikat jamin sebanyak RM130,000 dengan penjamin warga tempatan, berserta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Sebutan semula kes itu ditetapkan pada 5 Mac ini.
Pada 13 Januari lalu, pemeriksaan yang dijalankan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) ke atas produk sandwic ‘ham and cheese’ yang dibekalkan di Universiti Malaya (UM) mengesahkan ia tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).
Dalam kenyataannya, Jakim memberitahu, syarikat yang menghasilkan produk berkenaan juga bukan pemegang SPHM.
Sementara syarikat pengeluar roti sandwic kontroversi, Shake and Bake Cafe Sdn Bhd pada 15 Januari lalu memaklumkan bahan mentah yang digunakan dalam ‘sandwic ham’ itu mempunyai sijil halal daripada Jakim.
Dalam kenyataannya, Shake and Bake memberitahu, bahan yang digunakan dalam sandwic berkenaan ialah roti, keju dan kepingan ayam. – 24 Januari, 2025