KUALA LUMPUR – Seorang anggota polis perlu sentiasa tampil sihat dan fit tetapi jika mereka ‘boroi’ ia bercanggah dengan imej polis yang perlu sentiasa kelihatan kemas.
Justeru syarat yang ditetapkan kepada anggota polis untuk mempunyai indeks jisim badan (BMI) kurang daripada 28 tahun bagi kenaikan pangkat disambut baik oleh orang ramai.
Tinjauan Scoop mendapati orang ramai bersetuju dengan syarat itu kerana dengan tampil sihat dan kemas, mereka dapat memberikan prestasi kerja yang terbaik.

Salah seorang yang ditemui, Muhammad Alif Daniel Jamaludin, 23, berpendapat sebagai anggota badan beruniform, kesihatan tubuh badan anggota polis perlu berada dalam tahap terbaik agar stamina mereka tidak terganggu lebih-lebih lagi ketika menjalankan operasi membanteras kegiatan jenayah.
“Saya setuju dengan syarat tambahan itu kerana seorang anggota polis kena kuat dan berbadan fit, baru senang mereka nak kejar penjenayah dan penyamun. Jadinya, mereka perlu kekal fit dan sihat sentiasa,” katanya.
Pada 16 Januari lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata syarat BMI kurang daripada 28 itu adalah di antara kriteria yang ditambah bagi memastikan proses kenaikan pangkat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjadi lebih ketat.
Untuk rekod, BMI yang sihat bagi orang dewasa adalah di antara 18.5-24.9 manakala BMI 25.0 atau lebih ialah berat badan berlebihan

Farah Yusof, 56, senada dengan Alif, turut menyokong usaha terbaharu PDRM untuk mengelakkan semakin ramai anggotanya berhadapan masalah berat badan berlebihan atau obesiti.
Malah, dia turut mencadangkan agar pihak pengurusan atasan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dapat menambah kemudahan pusat kecergasan gimnasium di semua balai polis supaya objektif tersebut tercapai.
“Ya, mereka kena sentiasa jaga berat badan, kalau ada operasi, mereka boleh mengejar penjenayah.
“Bagi saya, setiap balai polis mungkin boleh sediakan pusat gimnasium supaya bila ada masa lapang, polis-polis ini boleh gunakan kemudahan gim,” katanya.

Gunavathy Vadivelu, 41, pula berpandangan PDRM perlu melakukan rombakan imej dengan segera kerana kebanyakan anggota polis di Malaysia disifatkan mempunyai masalah berat badan berlebihan, tidak sesuai dengan ‘nature of work’ mereka yang perlu sentiasa tampil kemas dan penuh stamina dalam menjalankan pekerjaan.
“Kalau kita tengok kebanyakan polis, mereka sedikit boroi yang mana bercanggah dengan imej pihak polis yang perlu sentiasa terlihat kemas.
“Ia adalah satu keputusan yang wajar (syarat tambahan yang diperkenalkan PDRM), supaya anggota mereka akan lebih menjaga kesihatan sekali gus ia memberi kebaikan untuk kesihatan dan karier mereka sendiri,” katanya.
Bagaimanapun ada yang berpendapat bukan hanya kecergasan perlu dititik beratkan sebaliknya prestasi kerja juga perlu diambil kira dalam kenaikan pangkat.

Amirul Syazwan Mohd Zaini, 28, berkata dia tidak menafikan kecergasan merupakan antara kriteria yang perlu dititikberatkan, namun prestasi kerja sebenarnya adalah penilaian yang paling penting berhubung hal kenaikan pangkat.
“Mungkin PDRM boleh sertakan beberapa garis panduan dalam syarat tambahan itu, sebab ada sesetengah orang mungkin ada masalah kesihatan yang membuatkan badan mereka membesar, jadi perkara ini mungkin boleh diambil kira untuk penilaian mereka,” katanya.

Rabiatul Adawiyah Khalid, 36, pula berpendapat tidak sewajarnya proses kenaikan pangkat dinilai berdasarkan kadar BMI, sebaliknya PDRM perlu memberi peluang sama adil dan saksama kepada semua anggotanya.
“Bagi saya, syarat itu tidak applicable (tidak boleh diamalkan) dan ia perlu dipertimbangkan semula.
“Lebih baik melihat prestasi kerja (supaya adil kepada semua anggota polis) tapi sekiranya individu itu sudah dinaikkan pangkat, harapnya selepas itu (dia mempunyai kesedaran) untuk turunkan berat badan mengikut syarat yang telah ditetapkan sebelum itu,” katanya.

Sama seperti Rabiatul, James Lee Zhern Kian, 23, berkata mereka yang layak naik pangkat ialah mereka yang menunjukkan prestasi yang baik.
“Saya tidak bersetuju kenaikan ikut BMI, sebab pada saya kenaikan pangkat perlu dinilai berdasarkan prestasi kerja, bukan pada tubuh badan. Siapa yang perform dalam kerja, layak naik pangkat,’’ katanya. – 19 Januari, 2025