KUALA LUMPUR – Seorang pegawai pengurusan tertinggi sebuah syarikat penyiaran tempatan ditahan bersama empat yang lain kerana disyaki terbabit dalam kes pengubahan wang haram menerusi Op Ragada hari ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kesemua mereka berusia dalam lingkungan 20 hingga 60 tahun dan ditahan di beberapa lokasi di Pulau Pinang serta Sarawak.
Menurutnya, polis turut merampas, membekukan dan menyita aset seperti kenderaan, akaun bank dan dokumen-dokumen yang nilai keseluruhan berjumlah RM17,434,217.
“Tangkapan itu dIlakukan oleh Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman selepas menerima maklumat risikan kewangan Suspicious Transaction Report (STR) tentang transaksi meragukan melibatkan beberapa akaun bank dalam tempoh 2017 hingga September 2024.
“Modus operandi dilakukan adalah menjalankan aktiviti jenayah pengubahan wang haram melalui transaksi kewangan yang mencurigakan dan kesalahan pecah amanah jenayah, tipu tender dan menganugerahkan tender kepada diri sendiri atau ahli keluarga,” katanya kepada Bernama.
Razarudin berkata kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613), Seksyen 409 Kanun Keseksaan, Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Seksyen 403 Kanun Keseksaan dan Seksyen 23 Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Sementara itu, di Sarawak, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, menahan eksekutif pengurusan tertinggi petang tadi.
Eksekutif berusia 60-an itu yang memakai topi berwarna hitam, pelitup muka serta berjaket kelabu dibawa keluar dari pejabatnya, pada kira-kira 3.15 petang.
Kotak berwarna biru dipercayai mengandungi dokumen berkaitan kes berkenaan turut dibawa keluar dari syarikat berkenaan. – 10 Januari, 2025