SETIAP hari, 18 rakyat Malaysia mengutus salam terakhir kepada insan tersayang, angkara nyawa melayang dalam tragedi kemalangan yang berlaku di luar perlindungan keselamatan sosial sedia ada.
Ini bukan sekadar angka, sebaliknya realiti pahit yang masih membelenggu masyarakat. Di sebalik angka kemalangan jiwa ini adalah duka seisi keluarga, anak yatim piatu membungkam dan impian yang berkecai.
Mereka tiada pilihan selain terpaksa menongkah perih jerih kehidupan tanpa sekelumit pun jaringan keselamatan sosial yang menyeluruh.
Meskipun berdepan keperluan mendesak, sistem sedia ada hanya memperuntukkan perlindungan terhadap insiden berkaitan kerja, sekali gus menyebabkan ramai mangsa dan waris keluarga terdedah kepada risiko tekanan kewangan serta bantuan pemulihan yang terhad.
Cakna terhadap jurang ketara ini, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mengetengahkan Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (SKBBK) bagi memperluas perlindungan kepada individu yang terjejas dengan kemalangan di luar lingkungan pekerjaan.
Malah, pasca peningkatan aturan kerja anjal (FWA), sempadan kelaziman yang memisahkan antara risiko berkaitan kerja dan di luar waktu kerja kini sukar dibezakan. Kerangka sedia ada hanya meliputi perlindungan semasa perjalanan ke pejabat dan ketika di tempat kerja.
Bagaimanapun, FWA mencetuskan garis kabur antara dua perkara ini sehingga mengundang risiko pekerja berada di luar lingkungan perlindungan konvensional semasa menjalankan tugas seharian. Justeru, SKBBK diwujudkan bagi menangani rangkaian cabaran ini, demi memastikan pekerja ‘kalis’ daripada sebarang risiko rentetan kemalangan waima bagaimana atau di mana sekalipun mereka menjalankan tugas.
Perangkaan di awal rencana ini sebenarnya memberi gambaran menggerunkan. Statistik Kementerian Pengangkutan mendedahkan bahawa antara Januari hingga Oktober tahun lalu, sebanyak 532,125 kemalangan dengan 5,364 daripadanya membabitkan kematian dilaporkan di seluruh negara.
Jika dicongak, ini membawa kepada purata harian mengejutkan iaitu 1,745 kemalangan dan 18 kematian sehari.
Walaubagaimanapun, berteraskan skim sedia ada di Perkeso, hanya 35,142 kes (6.6%), termasuk 886 kematian (16.5%) layak mendapat pampasan atau sokongan pemulihan. Bagi yang lain, tiada bantuan mahu pun sokongan diterima, tetapi hanya dukacita menjadi ganti.
Ini bukan sekadar jurang, tetapi lurah terdalam yang membaham nyawa dan masa depan keseluruhannya. Ini adalah krisis negara yang kian membarah.
Setiap mangsa kemalangan tanpa perlindungan adalah tragedi sepi dan kesan hilangnya satu nyawa mewakili kegagalan yang sepatutnya boleh dibendung. Kepincangan Tindakan melemparkan mesej ngeri: kita sanggup membiarkan pekerja dan keluarga mereka membayar mahar tertinggi angkara pengabaian.
Bayangkan seorang pekerja yang cedera dalam kemalangan kereta di luar Waktu kerja atau sebuah keluarga sedang meratapi kehilangan ‘tulang belakang’ nafkah dalam insiden jalan raya.
Bagi individu-individu ini, SKBBK akan menyediakan bantuan kewangan kritikal: penggantian pendapatan semasa pemulihan, capaian perkhidmatan pemulihan dan sokongan berterusan untuk seisi tanggungan.
Tanpa skim ini, mereka terpaksa menghadapi polemik kewangan bersendirian—situasi yang berkemungkinan menimpa sesiapa tidak mengira waktu. Dengan menutup kelompangan ini, SKBBK memastikan mangsa dan keluarga mereka diberikan ‘nafas baharu’ kehidupan, tanpa tergelincir ke kancah kemiskinan atau dibebani rintangan ekonomi yang berpanjangan.
Selain itu, skim ini bakal berperanan sebagai penampan penting daripada keluarga terjerumus dalam kitaran kemiskinan berikutan kemalangan luar jangka.
Pelaksanaan SKBBK selaras visi Malaysia ke arah mewujudkan system keselamatan sosial berdaya tahan dan terangkum. Bersandarkan usaha melindungi individu daripada dampak kewangan yang meranapkan ekoran tragedi kemalangan, skim ini bukan sekadar meringankan kesulitan peribadi dan keluarga, sebaliknya menyumbang kepada kestabilan ekonomi negara, mengurangkan kebergantungan terhadap kebajikan awam serta meningkatkan produktiviti tenaga kerja. Tetapi, putaran waktu kian berlalu dan mahar yang perlu dibayar daripada kepincangan bertindak semakin meningkat saban hari.
Persoalan mendesak kekal tidak terjawab: Berapa lama lagi keluarga yang berkabung dan anak-anak yatim harus menanggung keperitan kewangan akibat kemalangan di luar kerja? Berapa banyak lagi nyawa harus melayang dan keluarga menjadi ranap sebelum penggubal undang-undang bertindak? Setiap kelewatan bukan sekadar kegagalan dasar tetapi kegagalan moral secara bersama.
Dengan setiap hari yang berlalu, kita bersekongkol dalam penderitaan rakyat Malaysia yang berhak mendapat keadilan lebih baik.
Tiba masanya untuk kita luluskan skim ini kerana ia bukan hanya berkisar kepada soal dasar, tetapi tuntutan moral yang tiada tolok banding. Sekiranya isu ini terus diabaikan, ia ibarat mengkhianati asas sebuah masyarakat yang adil dan penyayang. ‘Hutang’ tanggungjawab kepada rakyat Malaysia perlu dilunaskan dengan bertindak tegas dan tanpa ragu, demi melindungi kesejahteraan masyarakat hari ini dan generasi akan datang.
Datuk Sri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed adalah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso