KUALA LUMPUR – Penyokong mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan hadir ke mahkamah di Putrajaya esok atas kapasiti individu dan peribadi, justeru mereka tidak memerlukan permit.
Bekas Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Isham Abdul Jalil berkata, memandangkan tiada penganjur, adalah tidak masuk akal jika setiap individu yang datang secara peribadi perlu memohon permit.
Malah perkara itu tidak ada dalam peruntukan untuk Akta Himpunan dan mengikut perlembagaan serta undang-undang, orang ramai bebas serta berhak untuk ke mana-mana premis awam termasuk mahkamah.
“Tiada permit yang akan dihantar oleh penganjur sebab tidak ada pun penganjur untuk hantar permit.
“Undang-undang tidak melarang sesiapa untuk pergi mendengar perbicaraan mahkamah kerana perbicaraan mahkamah adalah terbuka kepada umum, cuma terhad kepada ruang di dalam kamar mahkamah
“Orang awam boleh mengikuti perbicaraan di luar mahkamah jika kamar mahkamah tidak cukup ruang,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.
Isham turut memaklumkan beliau akan turun bagi memberikan sokongan kepada Najib, juga atas kapasiti individu.
Semalam, Ketua Polis Putrajaya Aidi Sham Mohamed memberitahu solidariti kepada Najib tidak mendapat kebenaran polis.
Jelasnya, permohonan berhubung penganjuran himpunan itu diterima polis pada 31 Disember lalu namun ditolak kerana tidak lengkap.
Esok, Mahkamah Rayuan akan mendengar rayuan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan titah adendum yang dikatakan dikeluarkan oleh Yang Di-pertuan Agong (YDPA) terdahulu.
Umno juga kemudiannya memaklumkan tidak akan meneruskan perhimpunan itu bagi menghormati kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong untuk menggunakan saluran perundangan yang ditetapkan dengan mengemukakan rayuan terhadap Najib.
Isham turut memberitahu, meskipun pemimpin Umno membatalkan perhimpunan berkenaan namun akar umbi tetap mahu datang memberikan sokongan kepada Najib.
“Saya Datuk Seri Najib mahu dan gembira jika dia lihat ramai orang datang memberikan sokongan moral kepadanya,’’ katanya.
Beliau juga mendakwa Pakatan Harapan (PH) dan DAP takut serta panik jika Umno dan PAS bersatu semula.
“Namun ada ahli-ahli politik PH dan DAP dan penyokong tegar mereka dalam Umno (UMDAP) yang tidak berpuas hati jika mereka lihat beribu-ribu orang berhimpun untuk memberi sokongan kepada DS Najib terutama apabila parti-parti terbesar Melayu iaitu Umno dan PAS berhimpun atas satu matlamat.
“Mereka telah lihat apa yang berlaku kepada mereka apabila orang-orang Melayu bersatu semasa ICERD dan Muafakat Nasional. Kali ini mereka gerun dan dengki apabila akar umbi Umno dan PAS menyokong DS Najib untuk mendapatkan keadilan dalam isu addendum,’’ katanya. – 5 Januari, 2025