KUALA LUMPUR – Syarat wajib memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) bagi memperbaharui lesen perniagaan adalah di kawasan Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI) sahaja, bukan di semua jajahan lagi.
Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Kelantan, Mohd Asri Mat Daud ketika memberitahu Scoop berkata, urusan untuk memohon SPHM juga adalah mudah serta tidak merumitkan.
Malah, mereka yang memohon akan diberikan taklimat dan kursus oleh bahagian halal Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEIK).
“Bukan Islam tidak wajib. Yang jadi syarat untuk perbaharui lesen itu adalah dalam kawasan MPKB-BRI sahaja, tidak semua jajahan lagi.
“Urusan SPHM memang mudah sahaja, tidak rumit dan sebelum ambil (sijil) akan diberi taklimat atau kursus dahulu,’’ katanya menerusi mesej kepada Scoop.
Asri sebelum ini memberitahu, sebanyak 453 SPHM telah dikeluarkan kepada premis perniagaan di Kelantan ini sejak Januari hingga Disember ini melibatkan hotel, restoran, kedai makan, farmasi, kedai dandanan rambut dan lain-lain.
Ujarnya, daripada jumlah itu 405 adalah pengusaha Melayu, manakala sebanyak 48 adalah premis bukan Islam.
Bagaimanapun Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak boleh mengenakan syarat wajib atau berbaur paksaan kepada peniaga berasaskan makanan dan minuman (F&B) untuk mendapatkan sijil halal termasuk bagi memperbaharui lesen perniagaan.
Menurut Kor Ming berkata tindakan itu dianggap mengatasi bidang kuasa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), selain bertentangan pegangan Kerajaan Pusat.
Sementara Jakim dalam kenyataannya hari ini memberitahu, tiada undang-undang yang mewajibkan mana-mana pihak untuk memohon SPHM dan permohonan sijil itu di negara ini masih bersifat sukarela.
Ketua Pengarahnya, Datuk Sirajuddin Suhaimee berkata, PHM terbuka kepada mana-mana pihak yang bersedia untuk mematuhi semua keperluan piawaian, standard serta perundangan yang berkuat kuasa.
“Ia akan memberi nilai tambah kepada pemegang sijl melalui tahap komitmen yang tinggi untuk sentiasa mematuhi standard dan piawaian pensijilan halal,” katanya. – 29 Disember 2024