Bantah hukuman sebat di khalayak ramai bukan bermaksud bantah ajaran Islam: Mufti Perlis

Sebaliknya dibimbangi bercanggah dengan kehendak syarak yang menyuruh menutup keaiban peribadi individu, kata Dr Maza

1:09 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Menolak pelaksanaan hukuman sebat di khalayak ramai tidak boleh dianggap sebagai membantah ajaran Islam, kata Mufti Perlis, Datuk Mohd Asri Zainul Abidin.

Justeru, katanya, mereka yang tidak bersetuju dengan hukuman itu, tidak boleh disamakan sebagai tidak bersetuju dengan Islam.

Sambil memberi contoh kes khalwat, Asri atau lebih dikenali sebagai Dr Maza berkata, tiada penetapan syarak yang menyuruh pesalah disebat di khalayak ramai.

“Adapun khalwat, tiada penetapan syarak menyuruh mereka disebat di khalayak ramai.

“Bahkan, menyebat kes seperti itu di khalayak ramai dibimbangi bercanggahan dengan kehendak syarak yang menyuruh menutup keaiban peribadi individu.

“Menyebat kesalahan khalwat di khalayak ramai bukan hukum Allah dan Rasul, ia hanyalah pilihan penguasa semata,’’ katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Pada Jumaat, seorang duda kepada lima anak telah disebat di khalayak ramai kerana melakukan kesalahan khalwat berulang, di Dewan ‘Aasim, Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Kuala Terengganu.

Pelaksanaan hukuman berkenaan menjadikan tertuduh, Mohd Affendi, 42, yang mengaku bersalah berkhalwat buat kali ketiga itu, sebagai individu pertama di Terengganu disebat di khalayak ramai.

Berdasarkan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022 yang berkuat kuasa 1 Januari lalu, kesalahan khalwat bagi kali kedua dan seterusnya boleh dikenakan hukuman sebatan sehingga enam kali, denda sehingga RM5,000 atau tiga tahun penjara.

Bagaimanapun pelaksanaannya mendapat bantahan dan kritikan termasuk daripada Majlis Peguam yang menganggap sebatan di khalayak ramai memburukkan lagi penghinaan dan penderitaan yang dialami oleh individu yang dihukum, menjadikan mereka sebagai objek aib awam, bukannya mendorong pemulihan atau keinsafan.

Malah presiden Majlis Peguam, Mohamad Ezri Abdul Wahab berkata, pelaksanaan hukuman sebat di khalayak awam melampaui batasan yang ditetapkan bawah Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 [Akta 355].

Ezri juga menekankan meskipun Akta 355 membenarkan hukuman sebat namun ia tidak memperuntukkan hukuman itu dijalankan di hadapan khalayak ramai.

Dalam pada itu, Asri ketika mengulas mengenai hukuman sebat berkata, ia memang terdapat dalam al-Quran dan al-sunnah ke atas penzina tanpa mencederakan pesalah, namun dengan syarat dan peraturan yang ketat.

Kes itu, katanya hendaklah disaksikan oleh empat saksi bagaimanapun hampir mustahil untuk menemui pasangan berzina yang membenarkan perlakuan mereka ditonton oleh empat saksi yang baik.

“Adapun penuduh orang lain zina tanpa bukti yang ditetapkan syarak, lebih mudah untuk disebat di khalayak ramai dibandingkan penzina sendiri.

“Jelas, Islam anti mulut celupar dan (tidak) suka menjadikan dosa peribadi antara hamba dengan Allah semata sebagai bahan masyarakat.

“Pemerintah pula dituntut oleh Islam agar menutup ruang dosa peribadi daripada dijadikan bahan mainan rakyat. Banyak nas Islam dalam hal itu jika hendak dibahaskan,’’ katanya. – 28 Disember, 2024

Topics

 

Hangat

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

FashionValet a loss-making entity before and after Khazanah, PNB’s RM47 mil investment

GLICs bought stakes in 2018, company records show total RM103.3 million losses after tax from 2017 to 2022

Kuala Lumpur location for Marvel superhero film Thunderbolts

Florence Pugh was in Malaysia and shot scenes in Medan Pasar, Merdeka 118

Related