Iltizam politik yang kuat pastikan bank dipertanggungjawabkan atas jenayah ‘scam’: Derek Fernandez

8:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Tuntutan saman yang difailkan oleh Suruhanjaya Sekuriti dan Pelaburan Australia (Asic) ke atas HSBC sebanyak RM64 juta baru-baru ini berhubung kerugian disebabkan penipuan, telah mencetus gesaan supaya sektor perbankan di Malaysia dipertanggungjawabkan. 

Peguam dan pakar undang-undang keselamatan siber, Derek Fernandez berkata iltizam politik yang kuat adalah penting bagi memastikan institusi kewangan bertanggungjawab melindungi pengguna daripada penipuan.

“Melindungi orang ramai dari bahaya dalam talian (scam) dan ancaman keselamatan siber mestilah menjadi keutamaan nasional.

“Mesti ada kesanggupan untuk mendedikasikan sumber yang mencukupi dan boleh disahkan oleh institusi kewangan dan pengawal selia untuk menangani isu-isu ini dengan pengawasan yang telus.

“Cara lama kawalan sendiri dan menolak risiko kewangan transaksi digital kepada pelanggan, pada masa sama mengaut keuntungan daripada pendigitalan tanpa campur tangan kawalan yang mencukupi, tidak berkesan sama sekali,’ kata Derek.

Peguam dan pakar undang-undang keselamatan siber, Derek Fernandez menggambarkan tuntutan Asic terhadap HSBC sebagai perkembangan yang berani dan dialu-alukan. – Gambar fail Scoop, 20 Disember, 2024

Derek menggambarkan tuntutan Asic terhadap HSBC sebagai perkembangan yang berani dan dialu-alukan, satu tindakan pengawalseliaan dengan melibatkan pihak di luar sektor kewangan.

“Keputusan ini mencerminkan trend global di mana institusi seperti pengawal selia sekuriti mengambil langkah untuk memastikan institusi kewangan dipertanggungjawabkan.

“Pada masa depan, pengawal selia lain seperti dari sektor telekomunikasi dan keselamatan digital boleh campur tangan apabila berlaku  ketidakaturan. Langkah ini adalah ke arah mempromosikan sistem kewangan global yang lebih saksama,” katanya.

Derek juga menggariskan langkah-langkah kritikal yang boleh dipertimbangkan oleh bank dan pengawal selia untuk membendung jenayah siber yang semakin meningkat iaitu dengan mencadangkan supaya pelanggan dibenarkan meminta teknologi pengesahan tambahan – terutamanya untuk pembayaran telefon mudah alih – untuk meningkatkan tahap keselamatan.

Beliau juga mengesyorkan penetapan had masa maksimum untuk aduan penipuan, dengan tarikh akhir 30 hari untuk penyelesaian atau pemulangan wang kepada pelanggan yang terjejas.

Selain itu, Derek mencadangkan pemberitahuan masa nyata untuk semua transaksi kewangan dan satu mekanisme untuk memberi amaran kepada peniaga apabila aduan penipuan diterima, terutama untuk pembayaran yang sedang diproses atau belum selesai.

Cadangan lain, kata beliau, ialah termasuk memperkenalkan butang kill switch yang akan menghentikan semua transaksi termasuk pembayaran antarabangsa serta merta apabila ia diaktifkan.

Beliau turut melihat kepada Rangka Kerja Tanggungjawab Bersama (SRF) Singapura sebagai penanda aras.

Rangka kerja berkenaan, diperkenalkan oleh Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dan Pihak Berkuasa Pembangunan Media Infokom (IMDA), mewajibkan bank dan syarikat telekomunikasi untuk mengambil tanggungjawab yang lebih besar dalam mengurangkan penipuan pancingan data.

Di bawah SRF, bank-bank di Singapura akan dipertanggungjawabkan atas kerugian penipuan mulai 16 Disember, iaitu satu langkah yang disifatkan sebagai contoh terbaik dalam melindungi pengguna.

Di Malaysia, inisiatif seperti tempoh bertenang selama 12 jam dan talian hotline penipuan 997 telah diperkenalkan untuk menangani isu-isu berkaitan penipuan.

Namun Derek percaya bahawa langkah-langkah ini tidak mencukupi memandangkan berbilion ringgit hilang setiap tahun akibat jenayah siber. 

Beliau menekankan kepentingan melaksanakan reformasi yang lebih komprehensif untuk menangani taktik yang sentiasa berkembang yang digunakan oleh penipu, termasuk teknologi deepfake yang didorong oleh AI.

“Kos sebenar pendigitalan telah dipandang rendah,” kata Derek. 

“Perubahan yang cepat dan berkesan mesti dibuat pada prosedur dan undang-undang yang melayani kepentingan nasional dan awam. Ini bukan hanya isu untuk sektor perbankan tetapi untuk mana-mana perkhidmatan kewangan atau transaksi yang menggunakan perkhidmatan rangkaian,’’ katanya.

Apabila jenayah siber menjadi lebih canggih, Derek menekankan keperluan tindakan segera dan kerjasama di seluruh negara Asean.

Beliau menggesa pengawal selia dan penggubal undang-undang Malaysia untuk mengutamakan reformasi perundangan dan melaksanakan rangka kerja yang kukuh untuk melindungi pengguna sambil mengekalkan kepercayaan dalam sistem kewangan digital. – 20 Disember 2024

Topics

 

Hangat

Dublin-based M’sian child psychiatrist who groomed, sexually abused teen jailed for 8.5 years

Amirul Arif Mohd Yunos pleads guilty to six charges of sexual crimes against minor, banned from practising the field in Ireland from now on

Regulating social media to protect children is a multi-agency effort, groups tell MCMC

Children’s issues cover many facets thus their digital rights and freedom of expression must not be restricted in the process of licensing platforms  

Book vouchers for students: MoE, MoHE unaligned on distribution method?

Fadhlina Sidek, in a ministry statement, says those eligible can claim through its Delima app via Kota Buku Digital feature, but Datuk Seri Zambry Abdul Kadir says mechanism will be disclosed later

Related