KUALA LUMPUR — Lebih 500 penduduk Jinjang Selatan Tambahan menuntut janji daripada pihak berkuasa berhubung isu perumahan dan pampasan pengosongan rumah yang dijanjikan kepada mereka.
Menerusi Gabungan Isu Perumahan dan Pampasan Jinjang Selatan Tambahan, mereka mendesak supaya pertemuan diadakan dengan Datuk Bandar, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif selepas dua memorandum yang dihantar sebelum ini didakwa terbiar tanpa jawapan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Setiausaha gabungan berkenaan, Ameer Khan Bargathalli berkata, pertemuan itu perlu segera dilakukan bagi membincangkan isu berbangkit melibatkan penduduk-penduduk Jinjang Selatan Tambahan yang sehingga kini masih belum mendapat pampasan rumah yang dijanjikan pihak pemaju.
Pengosongan di tanah berkenaan telah dimulakan sejak 2013.
Ameer berkata, ia adalah kunjungan ketiga mereka ke DBKL selepas memorandum yang dihantar pada 21 Ogos dan 13 September masih tidak berjawab.
“Disebabkan itu hari ini kami berkumpul di sini bagi menghantar memorandum kali ketiga, meminta satu tarikh mesyuarat bagi membincangkan isu perumahan dan pampasan penduduk yang berasa teraniaya oleh pihak pemaju.
“Dalam memorandum yang kami hantar sebelum ini, kami memaklumkan Datuk Bandar ada kalangan penduduk kehilangan hak mereka kerana tindakan segelintir orang luar yang cuba merampas rumah mereka.
“Kami mendapati penipuan telah berlaku dan pemaju menawarkan rumah gantian kepada penduduk yang tidak pernah memegang lesen pendudukan sementara (TOL),” katanya ketika ditemui di pekarangan Menara DBKL 1, di sini hari ini.
Beliau menyerahkan memorandum tersebut kepada pegawai khas Datuk Bandar, Khairul Azlan Yusuf.
Ameer memberitahu beliau juga bersedia berdebat dengan Datuk Bandar atau mana-mana pegawai yang bertanggungjawab berhubung isu pemberian pampasan yang didakwa dilakukan secara tidak adil.
“Bancian DBKL adalah tidak teratur dan berat sebelah, satu tindakan tegas perlu diambil dengan segera bagi menghalang penduduk luar mencuri hak penduduk asal.
“Sekiranya pihak Datuk Bandar masih tidak menyahut memorandum kami ini, kemungkinan selepas ini kami akan terus membawa isu ini untuk perhatian pihak menteri (Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa),” katanya.
Beliau turut mendakwa pemaju memaklumkan kepada penduduk bahawa DBKL tidak akan melayan data bancian yang dibuat oleh gabungan persatuan penduduk tersebut.
“Tindakan itu seolah-olah memberikan bayangan DBKL tidak pegang janji untuk meneliti semula data banci yang dikumpulkan.
“Susulan itu, kami menuntut supaya semua jenis cabutan undi yang dijalankan oleh pemaju dibubarkan serta-merta dan data bancian penduduk diteliti supaya hak penduduk asal terjamin dan rumah ditawarkan kepada mereka yang benar-benar layak,” katanya.
Pada September lalu, media melaporkan gabungan berkenaan memohon DBKL memberikan salinan senarai penerima tawaran bagi membolehkan mereka mengesan TOL.
Dakwa mereka, terdapat salah laku dalam bancian pemberian rumah TOL terutama penduduk luar yang mencuri rumah.
Menurutnya, bancian juga didakwa tidak dilakukan secara menyeluruh susulan ada antaranya tidak mendapat tawaran pampasan. – 13 Disember, 2024