KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya memperoleh Perintah Larangan daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi melarang pihak-pihak tertentu untuk berurusan dengan harta-harta melibatkan dana berkait 1Malaysia Development Bhd (1MDB) berjumlah AS$340 juta (RM1.61 bilion) di luar negara.
Dalam kenyataannya, SPRM berkata, harta berkenaan ketika ini berada dalam simpanan UK Court Fund Office, United Kingdom.
Menurut SPRM, perintah larangan itu diputuskan oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh pada 10 Disember lalu selepas berpuas hati dengan bukti dikemukakan oleh pihak pendakwaan yang menunjukkan dana terbabit mempunyai kaitan dengan aktiviti penggubahan wang haram.
“Perintah ini juga sekali gus turut menghalang Ketua Pegawai Eksekutif Petrosaudi International Ltd (PSI), Tarek Obaid daripada mengakses dana berkenaan,’’ katanya di sini hari ini.
Perintah Larangan ini kata SPRM, dibuat di bawah Seksyen 53 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLTFPUAA 2001) berdasarkan permohonan yang difailkan oleh pihak pendakwaan pada 2020.
Sebelum ini, pada 13 Mac 2024, SPRM juga berjaya mendapatkan Perintah Larangan ke atas 41 barangan kemas di Hong Kong bernilai Pound Sterling (GBP) 9,417,842.60 milik Tarek Obaid. – 12 Disember, 2024