PAS perlu berani, bukan diam lihat Bersatu ‘bolot’ jawatan penting dalam PN: penganalisis

Tidak pasti berapa lama PAS boleh bertahan dipermainkan oleh Bersatu walaupun parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu sendiri dalam keadaan melemah

9:00 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – PAS perlu berani menuntut jawatan penting dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) dan bukan membiarkannya terus dibolot pemimpin Bersatu.

Bercakap kepada Scoop, Geostrategis dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Profesor Madya Azmi Hassan berkata, PAS harus lebih dominan dan bukan ‘dipermainkan’ oleh Bersatu yang sendiri dalam keadaan lemah.

Geostrategis dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Profesor Madya Azmi Hassan. – Gambar Bernama, 11 Disember, 2024

“Agak pelik melihat barisan kepimpinan baharu dalam PN, walaupun PAS parti komponen paling kuat dalam gabungan itu jawatan-jawatan penting semuanya dibolot oleh Bersatu, terkini jawatan Setiausaha Agung PN.

“Sudahlah ketua pembangkang dari Bersatu, calon Perdana Menteri pun Bersatu, jadi dalam hal ini saya tidak yakin PAS boleh berdiam diri atau terus berdiam diri.

“Kerana berdasarkan pemahaman termasuk dibaca dalam media, jawatan Setiausaha Agung PN ini dibuat tanpa berunding dengan PAS sebab saya pasti kalau ada perundingan pasti jawatan itu milik PAS.

“Tidak pasti berapa lama PAS boleh bertahan dipermainkan oleh Bersatu walaupun parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu sendiri dalam keadaan melemah, lemah dalam PN dan lemah secara dalaman parti itu sendiri,” katanya hari ini.

Beliau berkata, PN perlu menyelesaikan isu berbangkit terutama siapa selayaknya menjadi ketua pembangkang dan calon Perdana Menteri.

“Seboleh-bolehnya perkara ini perlu diselesaikan sebelum menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16),” katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda PN, Afnan Hamimi Taib Azamudden yang sebelum ini mengesyorkan Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilantik Setiausaha Agung PN, akur dengan keputusan kepimpinan PN.

“Saya ucapkan selamat bekerja kepada semua yang dilantik.

“Amanah jawatan adalah tanggungjawab yang akan dipersoalkan. Ia bukan satu kemuliaan, bukan juga untuk dibanggakan,” katanya kepada Scoop.

Afnan yang juga Ahli Parlimen Alor Setar mencadangkan Takiyuddin atas faktor pengalaman dan senioriti pemimpin PAS itu dalam gabungan PN.

Terdahulu menerusi Facebook, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengesahkan dilantik sebagai Setiausaha Agung PN yang baharu bagi parti itu.

Beliau yang juga Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor berkata, Majlis Tertinggi PN menerima pelantikan tersebut pada malam kelmarin.

Sebelum ini, Mohamed Azmin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Kelang dilaporkan sempat menolak tawaran bagi jawatan tersebut kerana mahu menumpukan kepada PN Selangor diketuainya dalam misi menawan negeri itu pada pilihan raya akan datang.

Mesyuarat MT itu turut mengesahkan pelantikan Datuk Mas Ermieyati Samsudin sebagai Ketua Wanita PN dan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dilantik Ketua Penerangan PN.

Ketidaksepakatan dalam PN jelas dilihat susulan kenyataan beberapa pemimpin komponen gabungan itu yang berbalas kenyataan sebelum ini berhubung isu pengerusi PN dan calon perdana menteri mereka untuk menghadapi PRU16. – 11 Disember, 2024

Topics

 

Hangat

Dublin-based M’sian child psychiatrist who groomed, sexually abused teen jailed for 8.5 years

Amirul Arif Mohd Yunos pleads guilty to six charges of sexual crimes against minor, banned from practising the field in Ireland from now on

Regulating social media to protect children is a multi-agency effort, groups tell MCMC

Children’s issues cover many facets thus their digital rights and freedom of expression must not be restricted in the process of licensing platforms  

Book vouchers for students: MoE, MoHE unaligned on distribution method?

Fadhlina Sidek, in a ministry statement, says those eligible can claim through its Delima app via Kota Buku Digital feature, but Datuk Seri Zambry Abdul Kadir says mechanism will be disclosed later

Related