KUALA LUMPUR – Rakyat Syria yang menetap di Malaysia meraikan kejatuhan presiden negara itu, Bashar al-Assad yang memerintah selama 24 tahun dengan bersorak, menari dan menyanyi di kedutaan Syria, di ibu kota hari ini.
Dalam klip video yang tular di media sosial, rakyat Syria berkumpul di kedutaan Syria di Jalan U Thant, di sini, sejak pagi tadi.
Dalam klip video yang di media sosial mereka bersorak, menyanyi, menari dan turut merakamkan momen-momen indah tersebut selain melaungkan ‘Syria bebas’.
Dilaporkan polis turut berada di kedutaan tersebut bagi mengawal keadaan.
Sementara dalam video lain yang dikongsi media sosial, terdapat individu di bangunan kedutaan tersebut memijak gambar Assad, dengan diiringi bunyi muzik.
Selain itu, akan Facebook rasmi kedutaan Syria di Malaysia turut menggantikan gambar dengan bendera pemberontak, bukannya bendera rasmi di bawah rejim Bashar yang mempunyai jalur merah, putih dan kuning dua bintang hijau.
Pemerintahan Bashar selama 24 tahun berakhir selepas kumpulan pembebasan Syria menguasai Damsyik pada awal pagi tadi.
Bashar mengambil alih tampuk pemerintahan itu daripada bapanya, yang juga bekas Presiden Hafez Al-Assad pada 2000.
Sepanjang pemerintahannya, Bashar dikenali sebagai pemimpin kuku besi malah sejak 2011, Syria dihantui oleh perang saudara.
Malah pasukan tentera Bashar didakwa melanggar hak asasi manusia dan melakukan serangan kejam terhadap orang awam, termasuk menggunakan senjata kimia ke atas rakyatnya sendiri.
Dalam pada itu, Qatar, Saudi Arabia, Jordan, Mesir, Iraq, Iran, Turkiye dan Russia mengeluarkan kenyataan bersama dengan menyifatkan krisis di negara berkenaan sebagai ‘perkembangan yang membahayakan’ dan mendesak penyelesaian politik.
Sementara Perdana Menteri Syria, Mohammed al-Jalali berkata beliau bersedia menyokong peralihan kuasa dan bekerjasama dengan pembangkang selepas Bashar melarikan diri. – 8 Disember, 2024