Pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 tangani kandungan jelik, eksploitasi kanak-kanak

Penguatkuasaan jenayah siber ini semakin mencabar apatah lagi dengan kemunculan teknologi maklumat seperti AI

7:57 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Langkah meminda Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) menunjukkan keprihatinan Kerajaan Madani dalam melindungi kanak-kanak dan remaja berumur 18 tahun ke bawah daripada ancaman dan exploitasi dalam kandungan media siber di alam maya.

Pensyarah Kanan Media dan Komunikasi Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia, Dr Syed Agil Alsagoff dalam memuji langkah kerajaan itu berkata ini kerana melalui pindaan tersebut akan meningkatkan keselamatan siber, terutama kandungan berkaitan kanak-kanak di negara ini.

“Ia menampakkan kesediaan kerajaan untuk mengetatkan peraturan, memandangkan banyak kes penipuan dan manipulasi kandungan siber yang berleluasa, membawa ancaman terhadap kesejahteraan komuniti dan keselamatan negara.

“Penguatkuasaan terhadap jenayah siber ini diperhatikan lebih mencabar, apalagi dengan munculnya teknologi maklumat terkini seperti kecerdasan buatan (Al) yang boleh disalah guna pihak tertentu sekiranya tiada pengawalan pematuhan peraturan terhadapnya dibuat Suruhanjaya Komunikasi Multimedia dan Malaysia (MCMC),” katanya kepada Bernama ketika dihubungi baru-baru ini.

Berdasarkan Rang Undang-Undang (RUU) Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2024 yang dibentangkan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 2 Disember lepas, ia menggariskan cadangan peruntukan hukuman penjara tidak lebih tempoh lima tahun atau denda RM500,000 atau kedua-duanya, bagi kesalahan yang dilakukan terhadap kanak-kanak berumur 18 tahun ke bawah.

Pensyarah Kanan Media dan Komunikasi Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia Dr Syed Agil Alsagoff berkata pindaan itu menampakkan kesediaan kerajaan untuk mengetatkan peraturan, memandangkan banyak kes penipuan dan manipulasi kandungan siber yang berleluasa. – Gambar media sosial, 4 Disember, 2024

Syed Agil berkata cadangan seksyen baharu 233A ke dalam Akta 588 yang melarang orang menghantar, menyebabkan dihantar atau membenarkan penghantaran pesanan elektronik komersial tanpa diminta, juga adalah wajar bagi mengelakkan pelbagai ancaman jenayah siber dalam kandungan maklumat.

“Kerajaan menerusi MCMC akan memantau penghantaran maklumat yang bersifat jelik, ancaman kepada pengguna dan keselamatan negara serta mengekang anarki yang boleh mencabul kemurnian maklumat dalam kalangan pengguna.

“Selain itu, ia juga bagi mencegah perbuatan subversif dalam kalangan pengendali media sosial yang boleh mengganggu gugat keharmonian, kesejahteraan sistem komuniti di negara ini serta menjaga kestabilan politik dan ekonomi negara,” katanya.

Sebelum ini Fahmi menegaskan Kerajaan MADANI tidak akan berkompromi dalam usaha membanteras aktiviti jenayah dalam talian, sekali gus menjadikan Internet sebagai platform yang lebih selamat untuk pengguna.

Beliau berkata pindaan Akta 588 yang telah berkuat kuasa selama 26 tahun itu akan meliputi penambahbaikan kepada skop penggunaan Seksyen 233, berhubung penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian, bagi mengelakkannya disalah guna, selain aspek media sosial, pembangunan industri dan keselamatan rangkaian.

Sementara itu penganalisis dasar awam tempatan Prof Madya Dr Syahruddin Awang Ahmad dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata pindaan akta itu amat tepat pada masanya selari dengan perkembangan platform internet kini dan pada masa akan datang.

Beliau berkata internet telah banyak disalahgunakan untuk dijadikan alat dan saluran untuk menganiaya kanak-kanak terutama dari segi pendedahan golongan itu sebagai objek seksual dalam kalangan pelaku jenayah khususnya pedofilia.

“Langkah mengetat dan menguatkuasakan garis panduan bagi akta ini khasnya dalam konteks hukuman kepada pesalah akan dapat memberikan pengajaran kepada mana-mana individu pemangsa daripada cuba melakukan kesalahan serupa pada masa depan,” katanya.

Syahruddin berkata cadangan untuk meminda istilah ‘jelik’ dalam Fasal 91 (a)(i) kepada ‘jelik melampau’ dalam Subseksyen 233 (1) misalnya adalah petunjuk jelas kepada usaha serius bagi mengenakan hukuman lebih keras atas kesalahan berat oleh pihak Kementerian Komunikasi menerusi MCMC.

Timbalan Dekan (Penyelidikan, Inovasi dan Pengkomersilan (PIP) Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UMS itu berkata beliau juga melihat inisiatif pindaan RUU Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2024 adalah maklum balas kepada isu-isu berkaitan internet, perisian dan kanak-kanak sebagai mangsa jenayah seksual di Malaysia. 

Kes-kes yang muncul dalam masyarakat saban hari menunjukkan bahawa pesalah jenayah seksual ke atas kanak-kanak cenderung untuk menggunakan platform media sosial untuk memanipulasi kanak-kanak secara seksual semata-mata untuk memenuhi kepentingan diri sendiri,” katanya.

Beliau berkata pindaan yang mengambil kira perubahan jenis teknologi khususnya internet dan aplikasi media sosial termasuklah AI itu dilihat sebagai pelan dinamik pihak MCMC dalam mendepani isu-isu berbangkit daripada perkakasan dan perisian teknologi terkini berkaitan dengan media dan kandungannya.

“Kerajaan juga boleh mengambil langkah lanjut dengan menggalakkan pemain industri telekomunikasi, syarikat yang membangunkan perkakas dan kandungan dalam talian, penyedia perkhidmatan media sosial dan ahli masyarakat untuk saling bekerjasama dalam memastikan penggunaan media sosial adalah selamat untuk kanak-kanak, malah juga wanita dan golongan yang terdedah kepada risiko manipulasi melalui internet,” katanya.

Syahruddin Awang berkata pindaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda RM500,000 atau kedua-duanya bagi kesalahan terhadap kanak-kanak di bawah 18 tahun adalah wajar.

Beliau berkata Fasal 91 (c) yang disyorkan sebagai subseksyen baharu dalam Akta 233 adalah berpatutan dan perlu dilaksanakan, dengan peruntukan bagi hukuman berbeza serta lebih tinggi, dan pesalah boleh ditangkap.

“Peruntukan denda setiap hari RM5,000 juga sewajarnya disokong penuh oleh semua pihak sebagai pengajaran dan peringatan kepada mana-mana ahli masyarakat yang berniat melakukan kesalahan sebagaimana yang ditafsirkan di bawah Akta 233,” katanya. – 4 Disember, 2024

Topics

 

Hangat

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

New MM2H rules: reduced deposits and age limits for special economic zone applicants

They must only be 21 years old, deposit US$65,000 in Malaysian bank, half of which can be withdrawn under certain conditions after approval

FashionValet a loss-making entity before and after Khazanah, PNB’s RM47 mil investment

GLICs bought stakes in 2018, company records show total RM103.3 million losses after tax from 2017 to 2022

Related