KUALA LUMPUR – Mangsa banjir yang mempunyai anak yang bakal menduduki Ujian Bertutur Bahasa Melayu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 esok masih berharap supaya Kementerian Pendidikan (KPM) dapat menangguhkannya.
Harapan berkenaan disuarakan di dalam media sosial dan bukan hanya mangsa banjir, netizen turut membangkitkan perkara sama memandangkan situasi banjir di beberapa negeri seperti Kelantan dan Terengganu yang semakin memburuk.
Malah Facebook Menteri Pendidikan, Fadhlina Salleh turut dihujani dengan rayuan daripada netizen supaya ujian tersebut ditangguhkan apatah lagi soal nyawa dan keselamatan perlu diberikan keutamaan.
Mereka juga mencadangkan supaya ujian berkenaan diteruskan di negeri yang tidak terjejas.
“Apa persediaan anak-anaknya yang rumahnya dilanda banjir tapi masih perlu menduduki peperiksaan SPM. Selesakah mereka? Bagaimana persediaan mental dan fizikal anak-anak ini? Tolonglah beri ihsanmu wahai menteri,’’ kata Shazuin Saadan.
Manakala Salleh Su pula mengajak Fadhlina turun ke Rantau Panjang dan menyelami apa yang rakyat di sana inginkan iaitu supaya ujian berkenaan ditangguhkan terlebih dahulu.
“Tangguh la dulu exam (peperiksaan), bukannya budak-budak tak nak exam cuma tangguhkan dulu,’’ katanya.
Sementara itu, bekas guru, Mohd Fadhli Mohamed Salleh yang tidak asing lagi dalam kalangan pendidik dan terkenal di media sosial turut meminta pihak-pihak berkenaan terutama KPM, Pengarah Lembaga Peperiksaan dan Pegawai Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dapat turun padang dalam misi menyelamatkan mangsa yang terperangkap akibat banjir dan melihat bagaimana keadaan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang sangat padat, sesak dan tidak selesa.
“Jangan hanya melawat pusat operasi bencana. Tidurlah dengan mereka walau semalam, masa tu baru otak kalian boleh berfikir dengan rasional rasanya,’’ katanya menerusi tulisan di Facebook.
Jelas Mohd Fadhli, bukan sahaja pelajar dan calon SPM yang terjejas, pengawas peperiksaan juga menjadi mangsa banjir.
Terdahulu, Fadhlina berkata KPM akan meneruskan Ujian Bertutur Bahasa Melayu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 di semua negeri terjejas banjir termasuk Kelantan, Terengganu dan Kedah seperti yang dijadualkan bermula esok hingga Khamis, selepas mengambil kira nasihat Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).
Fadhlina Sidek berkata keputusan itu juga dibuat selepas mengambil kira ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengenai situasi Monsun Timur Laut (MTL), yang berkemungkinan berpanjangan sehingga Februari 2025.
Seramai 5,377 calon SPM dikenal pasti terjejas akibat banjir di tiga negeri iaitu Kelantan seramai 3,111 calon, Terengganu (1,734 calon) dan Kedah (532 calon).
Senada dengan beliau ialah seorang doktor perubatan, Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan yang sering menulis di media sosial.
Dr Kamarul menyokong penuh supaya ujian lisan ini ditangguhkan kerana bukan sekadar hilang buku, alat tulis dan peralatan sekolah malah motivasi dan semangat untuk menduduki peperiksaan itu juga hilang.
“Banjir ni bukan sekadar memberi kesan kepada fizikal, ia juga memberi impak besar kepada mental dan emosi. Sudah pastinya itu akan menjejaskan prestasi akademik.
“Bayangkan melangkah (mungkin meranduk air) ke dewan peperiksaan dari PPS atau dari rumah yang dalam keadaan tunggang langgang. Itu kalau boleh pergi.
“Berilah masa calon bertenang, mengumpul semula semangat, membina semula harapan. Tangguh dulu SPM ujian lisan yang sepatutnya dijalankan esok,’’ katanya. – 1 Disember, 2024