Tiada bekas pemimpin tertinggi rayu masuk semula Umno, hanya peringkat cawangan memohon

PersoaIan ini timbul susulan mesyuarat MKT Umno memutuskan penggantungan keahlian bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman ditarik serta merta

1:15 PM MYT

 


KUALA LUMPUR – Ramai individu yang mahu ‘rujuk’ semula selepas keluar dari Umno adalah kalangan bekas pemimpin dan ahli parti di peringkat cawangan sahaja.

Sumber parti berkata, tidak ada permohonan dibuat daripada kalangan mereka yang pernah menjadi pemimpin tertinggi dan berjawatan dalam parti sebelum ini.

“Setakat ini yang diketahui tidak ada mana-mana bekas pemimpin tertinggi yang mohon atau rayu nak masuk Umno semula.

“Yang ramainya (mohon untuk kembali) adalah bekas pemimpin dan ahli cawangan sahaja, yang dipecat atau bertindak keluar Umno sebelum ini,” katanya kepada Scoop.

Semalam, Setiausaha Agung Umno, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki mengesahkan ahli yang keluar parti mahu ‘rujuk’ semula dengan mengemukakan permohonan kepadanya.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan individu berkenaan, namun mengesahkan ramai bekas ahli khususnya yang menyertai parti lawan mengutuskan permohonan untuk kembali kepada Umno.

Beliau mengulas kemungkinan Umno akan mempertimbang untuk menarik semula penggantungan keahlian termasuk terhadap Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan bekas Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan.

Ia susulan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno memutuskan penggantungan keahlian bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman ditarik serta merta.

Sementara itu ditanya faktor menyebabkan bekas pemimpin sama ada yang keluar parti atau digantung enggan membuat permohonan  atau rayuan semula, sumber terbabit berkata, ia lebih kepada perasaan malu untuk merayu dan bukan kerana tidak menyokong Presiden parti.

“Bukan kerana Zahid (Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi), tetapi kerana mereka malu untuk merayu. 

“Mereka lebih rela untuk menunggu sehingga habis tempoh penggantungan,” katanya.

Tajuddin sebelum ini digantung keahlian selama enam tahun bermula September 2022 kerana kesalahan mengkritik parti antara lain berkait tempoh masa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). 

Surat keputusan yang bertarikh 21 Jun 2022 juga tular di media sosial. 

Berikutan penggantungan tersebut, bekas Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) itu dilaporkan mengemukakan rayuan sebanyak empat kali kepada parti.

Manakala Hishamuddin dan Shahril antara nama besar dalam kepemimpinan Umno yang digantung keahlian selama enam tahun. Turut digantung, bekas Ahli Parlimen Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif.

Bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin juga antara pemimpin berpengaruh dalam Umno yang dipecat parti itu pada 27 Januari tahun lalu. – 29 November, 2024

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

FashionValet a loss-making entity before and after Khazanah, PNB’s RM47 mil investment

GLICs bought stakes in 2018, company records show total RM103.3 million losses after tax from 2017 to 2022

[UPDATED] Petronas confirms ongoing productivity reviews to ‘eliminate inefficiencies’

Responding to Scoop, industry giant said it aims to become ‘operationally focused, commercially agile and cost-efficient’, but did not clarify if it is linked to Petros deal

Related