Pengusaha kantin sekolah tidak boleh naik harga sewenang-wenangnya, tertakluk perjanjian tender

Pengetua atau Guru Besar bertanggungjawab memastikan pengusaha kantin menjual makanan mengikut senarai barang makanan dan minuman yang terdapat dalam sebut harga

11:48 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Pengusaha kantin sekolah tidak boleh sewenang-wenangnya menaikkan harga jualan kerana mereka tertakluk kepada perjanjian tender yang ditandatangani dengan pihak sekolah.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat bagaimanapun berkata, pengusaha kantin sekolah boleh mengadakan perbincangan dengan pihak sekolah serta wakil Persatuan Ibu Bapa-Guru (PIBG) untuk mendapatkan persetujuan sebelum menaikkan harga jualan makanan di kantin sekolah.

Jelasnya, berdasarkan buku Panduan Pengurusan Kantin Sekolah Sihat yang terkini terbitan 2011, adalah menjadi tanggungjawab Pengetua atau Guru Besar memastikan pengusaha kantin menjual makanan mengikut senarai barang-barang makanan dan minuman yang terdapat dalam sebut harga.

“Manakala, dalam Perjanjian Penyewaan dan Pengurusan Kantin Sekolah yang ditandatangani pihak sekolah (mewakili kerajaan) dengan pengusaha kantin sekolah pula, pihak pengusaha kantin sekolah hendaklah memastikan penjualan makanan dan minuman di kantin sekolah adalah pada harga yang berpatutan sebagaimana dipersetujui oleh pihak sekolah,’’ katanya.

Beliau menjawab soalan daripada Mohd Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar) yang ingin tahu perancangan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk meringankan bebanan lebih 10,000 pengusaha kantin sekolah dan dijangkakan berlaku kenaikan harga pada tahun depan.

Menurut Fadhlina, bagi mengurangkan beban yang ditanggung pengusaha kantin akibat kenaikan harga barang dan peningkatan kos bahan mentah, KPM melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk bantuan RM1,500 kepada pengusaha kantin sekolah bawah KPM pada 2020.

Selain itu, pengecualian pembayaran sewaan kantin sekolah di bawah KPM bagi bulan Mac 2020 hingga November 2020, pengecualian pembayaran sewaan kantin sekolah bawah KPM bagi Januari 2021 hingga Disember 2021 dan bantuan RM1,000.00 kepada pengusaha kantin sekolah melalui Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) pada 2021 dilaksanakan.

“Di samping itu, penyambungan kontrak sewaan kantin secara automatik untuk tempoh satu tahun bagi kontrak asal yang tamat pada tahun 2021 dan 2022, pengecualian sewaan kantin bagi tempoh 11 bulan bermula Januari 2022 hingga November 2022 dan pengecualian sewaan kantin dan premis/ruang di sekolah-sekolah KPM selama tiga bulan bermula 1 Januari 2023 hingga 31 Mac 2023 melalui surat pemakluman rujukan KPM.200/4/2/1/Jld.22 (96) bertarikh 4 Januari 2023,’’ katanya.

Beliau memberitahu, inisiatif itu adalah bagi membantu meringankan beban pengusaha kantin akibat kenaikan harga semasa bahan mentah dan membantu mereka menyusun semula perniagaan selepas pandemik Covid -19.

“KPM percaya dengan inisiatif ini dapat membantu pengusaha-pengusaha kantin menyusun semula strategi perniagaan dan menjana pendapatan mereka,’’ katanya. – 27 November, 2024

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Related