Pemain industri sambut baik penangguhan RUU Pekerja Gig, perlukan rundingan lanjut

Tempoh masa diperlukan juga penting bagi memastikan impak sebenar mewujudkan RUU itu dapat dicapai

9:00 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Pemain industri menyambut baik keputusan kerajaan untuk menangguhkan Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig yang dijadual dibentang di Dewan Rakyat, Disember ini.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif GoGet Malaysia, Francesca Chia ketika dihubungi Scoop berkata, keputusan penangguhan itu menunjukkan hasrat kerajaan yang sejajar dengan objektif pemain industri untuk melindungi pekerja gig.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif GoGet Malaysia, Francesca Chia. – Gambar GoGet, 22 November, 2024

“Kami gembira kerana kerajaan juga sejajar dalam mencapai matlamat ini melalui penglibatan pihak berkepentingan yang komprehensif dan banyak lagi.

“Kami percaya dengan memastikan jaringan keselamatan melalui insurans, pencen dan peningkatan kemahiran, pekerjaan gig benar-benar boleh dilihat sebagai pilihan pekerjaan yang serius. Jadi kerajaan mendapat sokongan penuh kita dalam wawasan ini.

“Kami juga memohon keterbukaan mereka untuk mendengar daripada pemain industri, pelaksana undang-undang malah pihak yang terjejas bagi memastikan supaya RUU ini berjaya,” katanya kepada Scoop.

Terdahulu Menteri Sumber Manusia, Steven Sim memaklumkan kepada Scoop, pembentangan RUU Ekonomi Pekerja Gig telah ditangguhkan.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat berikutan maklum balas daripada pihak berkepentingan serta keperluan untuk memastikan enakmen berikutnya meliputi semua sudut.

“Ia adalah undang-undang yang sama sekali baharu, jadi kami memerlukan lebih banyak masa kerana penggubalan yang sepatutnya bermula pada bulan Ogos,” kata Sim.

Mengulas lanjut, Francesca berkata, dalam ketika kerajaan akan mengadakan libat urus, tempoh masa diperlukan juga penting bagi memastikan impak sebenar mewujudkan RUU itu dapat dicapai.

“Kita harus ingat bahawa pada hari ini Perkeso ada Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) yang disediakan dan ia adalah wajib untuk penunggang dan p-hailing.

“Selain itu, sebarang jenis pekerjaan gig juga boleh mendapat perlindungan di bawah 20 kategori SKSPS hari ini.

“Perlindungan sudah ada. Walau bagaimanapun, perkara penting ditekankan di sini adalah untuk berkongsi bagaimana program semasa boleh ditambahbaik untuk mencapai impak yang lebih besar,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pembangunan Perniagaan KiddoCare, Rahman Hussin berkata, penangguhan itu boleh membawa kesan lebih baik sekiranya penyediaan akta RUU ini tidak tertakluk kepada satu tempoh masa yang mutlak.

Beliau berkata, sebaliknya ia bergantung kepada faktor kepentingan RUU itu sendiri dari segi ekonomi sosial dan politik.

“KiddoCare setuju dan menyokong bahawa (memang) perlu ada RUU seperti ini, namun begitu kami merasakan perlu adanya konsultasi yang lebih lanjut, perhalusi beberapa perkara kerana RUU ini (dilihat) akan mendatangkan kos yang berlebihan (compliance cost) kepada penyedia platform.

“Kalau benar tiada apa yang perlu diselindungkan dalam RUU ini, maka bolehlah dikongsikan draf penuh (RUU) dengan pemain industri.

“(Bolehlah) tetapkan masa untuk (libat urus) pihak berkaitan memberi pandangan, komentar dan sebagainya dan rasanya kami pemain industri pasti akan bersetuju selepas itu,” katanya. – 22 November, 2024

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Of Chinese gangs, a M’sian ex-deputy minister, and Burmese rebels: KL event ensnared in Myanmar scam centre?

Human rights group reveals event at JW Marriott for controversial Dongmei Zone, which allegedly sourced billions of ringgit in investments from prominent individuals, and reported by Chinese human trafficking victim to be rife with crime, drugs, brothels

Related