KUALA LUMPUR – Seorang lelaki tempatan mengalami kecederaan parah selepas terlibat dalam pergaduhan yang menyaksikan bebola matanya dikorek oleh seorang lelaki warga asing di sebuah flat di Jalan Ara Kuda, Tasek Gelugor, semalam.
Berikutan itu, polis telah menahan lelaki warga asing berusia 28 tahun yang terlibat dalam pergaduhan pada jam 2 petang semalam.
Ketua Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata, siasatan awal mendapati lelaki berusia 52 tahun itu dikatakan menganggu suspek menyebabkan dia dipukul dan matanya dicederakan.
“Lelaki itu dihantar ke Hospital Kepala Batas untuk rawatan lanjut dan keadaannya kritikal, manakala suspek yang ditahan di lokasi kejadian, kini direman bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan,’’ katanya yang dipetik dari Bernama.
Difahamkan, bebola mata kiri mangsa dijumpai petugas kesihatan tidak jauh daripada mangsa ketika mereka tiba di tempat kejadian. – 17 November, 2024