KUALA LUMPUR – Persatuan Peniaga-Peniaga Kecil Taman Tasik Titiwangsa (PPPKTT) kecewa kerana permohonan untuk mengadakan perbincangan dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk membincangkan isu lesen penjaja di taman berkenaan masih tidak ‘berjawab’ meskipun sudah tiga bulan berlalu.
Bercakap kepada Scoop, Penaung dan Penasihat PPPKTT, Datuk Gulam Muszaffar Gulam Mustakim berkata sehingga kini, tiada maklum balas diterima meskipun permohonan itu dihantar menerusi surat rasmi dan emel.
“Kita ingin mengadakan pertemuan segera bagi membincangkan isu mengenai lesen melibatkan penjaja di Taman Tasik Titiwangsa yang sudah tamat tempoh sejak 1 September lalu.
“Kami mohon pertemuan diadakan segera supaya kami dapat berbincang isu tersebut dengan DBKL,’’ katanya ketika dihubungi.
Media sebelum ini melaporkan pihak berkuasa menerima aduan dari penduduk Taman Tasik Titiwangsa yang melahirkan kebimbangan dengan nasib perumahan mereka yang kini dipenuhi dengan penjaja yang didakwa tidak mempunyai lesen perniagaan di sepanjang Jalan Kuantan, Jalan Temerloh dan Jalan Tembeling sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas.
Menurut Gulam Muszaffar, penjaja di Taman Tasik Titiwangsa itu kini tidak pilihan dan terpaksa berniaga tanpa lesen di sekitar lokasi tersebut demi kelangsungan hidup apatah lagi perniagaan kecil-kecilan itu merupakan pendapatan harian mereka.
Malah, mereka juga katanya tidak mempunyai masalah untuk membayar lesen asalkan ia disambung oleh DBKL.
“Dahulu DBKL kata nak tutup, tak boleh ada penjaja di Taman Tasik Titiwangsa, tapi bila saya pergi tengok ada sahaja peniaga di Jalan Kuantan (tanpa lesen dan bukan ahli PPPKTT) meniaga.
“Jadi disebabkan itu, ada sebahagian peniaga yang merupakan ahli PPPKTT tiada pilihan, terpaksa juga berniaga demi meneruskan kelangsungan hidup,’’ katanya.
Beliau memberitahu, perlu ada kontrak jelas mengenai perkara berkenaan dan boleh dilakukan secara bertulis.
“Sekiranya kerajaan atau mana-mana Datuk Bandar bertukar sekali pun, jika termaktub di dalam kontrak bahawa mereka boleh berniaga di situ selama lima tahun maka ia tidak akan mencetuskan masalah.
“Perkara ini yang ingin kami bincangkan dengan DBKL,’’ katanya. – 14 November, 2024