KUALA LUMPUR – Pemberi maklumat mengenai kes rasuah yang didakwa membabitkan sebuah negeri telah menerima ugutan bunuh, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
Menurut Razarudin, lelaki berusia 36 tahun itu telah menerima panggilan telefon daripada suspek melalui WhatApps daripada nombor tidak dikenali dan suspek mengaku daripada kumpulan pembunuh upahan.
Suspek, katanya, menyatakan panggilan berkenaan adalah amarah terakhir kepada pengadu.
“Dalam percakapan menerusi panggilan telefon itu, suspek yang dipercayai lelaki tempatan telah mengugut pengadu dengan kenyataan dalam bahasa Cina, bahawa suspek mengaku daripada kumpulan pembunuh upahan untuk membunuh pengadu.
“Suspek telah menerima arahan untuk membunuh pengadu dalam masa 24 jam jika pengadu tidak tutup mulut dan suspek menyatakan panggilan ini adalah amaran terakhir kepada pengadu,” katanya yang dipetik dari Bernama.
Sabtu lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggesa individu yang mempunyai video rakaman kes yang didakwa beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di sebuah negeri membincangkan mengenai rasuah supaya membuat aduan rasmi.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, agensi berkenaan boleh menawarkan perlindungan di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, namun individu terbabit perlu tampil dan mengikut prosedur.
Mengulas lanjut, Razarudin memberitahu suspek turut menghantar dua keping gambar pistol bersama peluru serta sekeping gambar orang kena tembak di atas jalan.
“Siasatan polis mendapati pengadu hanya menerima satu panggilan sahaja dan tidak menerima apa-apa gangguan selepas ‘report and block’ nombor telefon itu.
“Polis telah membuat semakan nombor telefon melalui sistem CCIU dan IPRS, dan mendapati nombor telefon itu tiada dalam perkhidmatan serta tiada rekod pemilik dan penama,” katanya.
Kes itu, katanya kini disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menakutkan secara jenayah dengan jalan perhubungan sembunyi nama. – 13 November, 2024