KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia dan China senada dalam memelihara tatakelola yang baik, memerangi rasuah serta memastikan kemakmuran memanfaatkan setiap orang ketimbang hanya dinikmati golongan tertentu.
Menurut Perdana Menteri, kedua-dua negara turut berkongsi dasar dan matlamat sama dalam pembangunan yang inklusif serta mampan di mana Malaysia menerusi gagasan Madani, beriltizam untuk menjulang kebajikan dan martabat rakyat, keadilan sosial, ketahanan ekonomi serta kemampanan.
“Hubungan persahabatan Malaysia dan China terus bertaut erat merentasi hubungan politik, ekonomi, budaya dan pertahanan serta menggambarkan kepercayaan dan perkongsian visi kedua-dua negara,’’ katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan syarahan umum bertajuk ‘Bridging Futures: Strengthening Malaysia-China Relations and ASEAN Centrality in a Shifting Global Order’ di Universiti Peking, Shanghai.
Anwar kini dalam rangka lawatan kerja empat hari ke China yang bermula 4 November lepas.
Beliau diiringi oleh Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; dan Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong.
Anwar juga memberitahu, syarahan beliau dimulakan dengan mengungkap petikan puisi nukilan Lu You, seorang pemuisi di era Dinasti Song.
Ia bagi menggambarkan betapa Malaysia memilih untuk bergerak melangkaui tentangan ideologi, prejudis dan ketidaktentuan lapuk tatkala memilih untuk mewujudkan hubungan dengan China.
Syarahan beliau, katanya, turut menyentuh mengenai kepengerusian Asean oleh Malaysia tahun depan dengan tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’ dengan memastikan semua suara didengari, berlandaskan prinsip Pemusatan Asean.

Menurutnya, prinsip ini menjadi asas yang memungkinkan negara-negara Asean bebas berhubung dengan mana-mana kuasa besar dengan Asean percaya tiada mana-mana negara besar berhak merencana pendirian negara lain.
“Saya turut mengulas petikan ucapan Presiden Xi Jinping ketika persidangan BRICS di Kazan tempoh hari yang berkongsi pandangan terkait perkongsian masa hadapan dan memahami keperluan mengangkat martabat hidup rakyat.
“Prinsip perkongsian kemakmuran masa hadapan ini terbukti berdasarkan kejayaan luar biasa China membasmi kemiskinan tegar. Kejayaan ini memberi semangat buat Malaysia dalam usaha merapatkan kesenjangan dalam sosioekonomi rakyat.
“Saya percaya dunia perlu terus membuka ruang kerjasama untuk mewujudkan hubungan yang lebih akrab, meraikan kejayaan dan menghargai keterbukaan, serta menyulam kepercayaan mendalam untuk mewujudkan dunia yang makmur, selamat dan damai,’’ katanya.
Selepas syarahan itu, Perdana Menteri turut melancarkan Buku SCRIPT MADANI yang diterbitkan semula dalam bahasa Mandarin untuk berkongsi gagasan Madani ke peringkat antarabangsa. – 7 November, 2024