KUALA LUMPUR – Laporan dapatan siasatan dalaman Kementerian Pertahanan (Mindef) berhubung kes buli pegawai kadet Akademi Latihan Ketenteraan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang dibentang esok akan dimaklumkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk tindakan dan arahan lanjut.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, polis masih menunggu arahan pihak AGC selepas kertas siasatan lengkap diserahkan kepada jabatan itu untuk semakan, kelmarin.
“Kertas siasatan polis kini dalam proses semakan pihak AGC yang mungkin boleh berakhir dengan pertuduhan di mahkamah.
“Hasil siasatan dalaman pula mungkin boleh berakhir tindakan dibuang daripada program atau dibuang asrama.
“Ada dua situasi, kadang-kadang keputusan daripada siasatan dalaman itu boleh dipertimbang untuk keputusan siasatan polis, kadang-kadang tindakan berasingan,” katanya kepada media di Balai Polis Trafik Jalan Tun H S Lee di sini, hari ini.
Semalam, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memaklumkan dapatan siasatan berhubung kes buli berkenaan akan dibentangkan jawatankuasa siasatan Jumaat ini.
Terdahulu Rusdi berkata, setakat Ahad lepas, pihaknya telah merakam keterangan 16 individu.
ATM dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan sedang menyiasat kes seorang pegawai kadet ALK-UPNM yang dibuli senior menggunakan seterika yang ditekap pada bahagian dada hingga meninggalkan kesan lecur seperti yang tular dalam media sosial.
Difahamkan perbuatan itu terbongkar selepas pemeriksaan berkala dijalankan jurulatih yang bertugas ketika itu selepas menyedari kesan kecederaan pada tubuh mangsa. – 7 November, 2024