Kastam nafi ketua pengarahnya guna dana kerajaan bawa keluarga bercuti

Jabatan itu menyifatkan, dakwaan dibuat terhadap Anis Rizana yang menaiki penerbangan Kelas Perniagaan bagi tujuan berkenaan sebagai tohmahan dan fitnah tidak berasas

6:58 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) hari ini menafikan dakwaan
Ketua Pengarahnya, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin menyalah guna dana kerajaan dengan membawa keluarganya bercuti ke Bangkok, Thailand.

JKDM dalam satu kenyataan menegaskan tiada sebarang peruntukan jabatan digunakan bagi membiayai kos penerbangan, penginapan atau kos lain berkaitan perjalanan berkenaan sebaliknya ia ditanggung sepenuhnya oleh Anis Rizana.

Jabatan itu menyifatkan, dakwaan dibuat terhadap Anis Rizana yang menaiki penerbangan Kelas Perniagaan bagi tujuan berkenaan sebagai tohmahan dan fitnah tidak berasas.

“Laporan polis sudah dibuat bagi menjaga nama baik dan imej JKDM dan Anis Rizana, selain orang ramai disaran lebih berhati-hati dan prihatin dengan membuat semakan serta pengesahan daripada sumber rasmi JKDM mengenai sebarang maklumat diterima.

“Menerusi penjelasan ini, diharap sebarang kekeliruan atau spekulasi tidak berasas dapat dihentikan.

“JKDM meminta semua pihak untuk memberikan fokus kepada usaha JKDM menjaga keselamatan dan kestabilan ekonomi negara, serta terus mempercayai integriti dan dedikasi dipegang Anis Rizana sebagai peneraju jabatan ini.

“JKDM sentiasa berusaha menangani penyebaran sebarang bentuk surat, e-mel, berita ataupun apa-apa kenyataan palsu dibuatpihak tidak bertanggungjawab secara berterusan bagi memastikan kepentingan awam sentiasa terpelihara,” katanya mengulas dakwaan yang ditularkan di platform media, baru-baru ini.

Memperincikan percutian Anis Rizana ke Bangkok, JKDM berkata, ia dilakukan atas urusan peribadi selepas permohonan berkaitan diluluskan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) selaku Pegawai Pengawal jabatan itu.

“Anis Rizana mengambil cuti selama dua hari pada 30 Oktober dan 1 November lalu, diluluskan melalui Sistem HRMIS, selaras Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia – Kemudahan Cuti, Ceraian SR.5.1.1.

“KSP juga meluluskan permohonan Anis Rizana ke luar negara atas urusan peribadi mengikut Surat Pekeliling Am Bilangan 3 Tahun 2012, Peraturan Perjalanan Pegawai Awam ke Luar Negara atas Urusan Persendirian.

“Ketika berada di Bangkok beliau mengambil peluang untuk menghadiri Kejohanan Tinju Antarabangsa bagi menyokong dan memberi semangat kepada warga JKDM, Adli Hafidz yang mewakili Malaysia,” katanya. – 2 November, 2024.

Topics

 

Hangat

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

New MM2H rules: reduced deposits and age limits for special economic zone applicants

They must only be 21 years old, deposit US$65,000 in Malaysian bank, half of which can be withdrawn under certain conditions after approval

FashionValet a loss-making entity before and after Khazanah, PNB’s RM47 mil investment

GLICs bought stakes in 2018, company records show total RM103.3 million losses after tax from 2017 to 2022

Related