KUALA LUMPUR – Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti Bersatu akan membuat teguran terhadap Armada berikutan ‘pergeseran’ yang timbul susulan keputusan pemilihan dalam sayap parti itu, yang diumumkan semalam.
Ahli MPT Bersatu, Mohd Rafiq Mohd Abdullah menegaskan masalah ‘dalaman’ yang disifatkan sebagai ‘pergaduhan adik beradik’ itu akan diselesaikan tidak lama lagi.
“Saya baru bercakap dengan rakan-rakan Armada kedua-dua belah pihak, bagi saya ini biasalah pergeseran adik beradik.
“Dalam rumah kita pun kadang-kadang masam muka dan bergaduh juga, tapi sebagai ‘adik beradik’ kejab lagi baik lah tu.
“Yang penting kita sebagai pemimpin besar kena panggillah kedua-dua belah pihak, sedikit hari lagi akan panggil mesyuarat MPT, kita akan tegur mereka,” katanya kepada Scoop hari ini.
Beliau berkata, menjadi adat pertandingan pasti ada kalah dan ada pemenang, namun lebih mustahak adalah untuk kembali merapatkan saf untuk menghadapi pilihan raya akan datang.
“Sudah-sudahlah tu, kalah bukan mati, kita masih dalam parti, nak rapatkan saf untuk menghadapi pilihan raya akan datang.
“Ini perkara normal (dalam pemilihan) semua parti macam itu setiap kali pemilihan, masa saya dalam Umno pun begitu, ini proses normal, yang bertanding (akan) merajuk, kalah sedih, (jadi) nak berdamai dengan takdir kena ambillah masa sekejap,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Ketua Bersatu Selangor bagaimanapun tidak bersetuju dengan dakwaan
Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) tidak telus dalam menjalankan proses pemilihan, sebaliknya mempunyai keyakinan penuh terhadap barisan JPP yang dilantik oleh MPT.
“Saya bertanding Naib Presiden, saya mempunyai keyakinan penuh terhadap JPP seratus peratus, JPP sangat bebas.
“JPP tidak ada keperluan pun untuk membawa atau membincangkan perkara (berkait keputusan pemilihan atau bantahan) di dalam MPT atau Jawatankuasa Pengurusan Parti ataupun kepada Presiden parti sendiri.
“Tidak ada keperluan dan itu sudah dinyatakan Tan Sri Presiden (Tan Sri Muhyiddin Yassin) bahawa keputusan dibuat JPP adalah mutlak dan itulah keputusan akhir yang kita akan terima.
“Jadi biasalah bila berlaku pemilihan yang Team A hantar laporan-laporan salah laku Team B, dan sebaliknya begitu juga Team B akan lakukan yang sama. Kalau beserta bukti kukuh dan sahih memang dibatalkan JPP,” katanya.
Sementara itu Ketua Armada baharu, Muhammad Hilman Idham berkata, tidak ada mana-mana individu atau pemimpin yang kepentingannya lebih besar daripada kepentingan Bersatu sebagai wadah perjuangan parti.
“Armada akan kembali memaknai peranan besar perjuangan anak muda. Armada adalah masa depan Bersatu.
“Sudah tiba masanya untuk seluruh kepimpinan Armada di semua peringkat khususnya yang telah dipilih, membingkai muafakat yang lebih erat demi pengukuhan Bersatu,” katanya.
Terdahulu, Armada menyatakan bantahan terhadap keputusan pemilihan sayap itu yang diumumkan JPP semalam.
Penolong Setiausahanya, Muhammad Faiz Rahmad berkata, pengumuman itu mengundang tanda tanya bukan sahaja daripada perwakilan Armada, tetapi juga ahli-ahli Bersatu dan seluruh rakyat di negara ini.
Menurut beliau, JPP perlu menjawab beberapa persoalan antaranya mengenai proses pemilihan sama ada ia dijalankan secara telus atau terdapat sebarang rancangan atau campur tangan individu tertentu yang mempunyai agenda peribadi bagi menentukan sebarang keputusan.
Semalam, Muhammad Hilman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gombak Setia diumumkan sebagai Ketua Armada Bersatu bagi penggal 2024 hingga 2027 selepas mengetepikan saingannya Akmal Zahin Zainal Zahir dari Seputeh dengan perbezaan 170 undi.
Selain itu, Muhammad Faiz dipilih sebagai Naib Ketua Armada dan Muhamad Amerul Muhamad dilantik menjadi Pengerusi Tetap sayap berkenaan serta dibantu Timbalannya, Mohd Firdaus Mohd Zaini.
Sebelum ini berdasarkan laporan media, keputusan tidak rasmi membabitkan pertembungan satu lawan satu bagi jawatan Ketua Armada Bersatu memihak kepada Akmal Zahin.
Keputusan ini adalah hasil dari penjumlahan undi bagi 112 daripada 115 bahagian yang layak bersidang dan memilih pada Sabtu lalu.
Tiga bahagian tidak dijumlahkan undinya disebabkan dua daripadanya tidak menjalankan persidangan iaitu Bahagian Bangi dan Kuala Krau, sementara persidangan di Bahagian Ampang terbatal. – 31 Oktober, 2024