KUALA LUMPUR – Orang ramai diingatkan tidak mengeluarkan kenyataan berunsur hasutan atau mengaitkan isu agama, kaum dan institusi raja (3R) dalam insiden kibar bendera China di Teluk Intan, Perak.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata ia bagi mengelak sebarang tindakan dikenakan ke atas mana-mana pihak yang mungkin tidak berpuas hati dengan kejadian berkenaan.
“Insiden berkenaan tidak dibincangkan pada Mesyuarat Kabinet memandangkan penularan kejadian itu berlaku ketika persidangan Jemaah Menteri sedang berlangsung.
“Saya juga membaca sendiri komen bersifat 3R yang berlegar, sama ada di Facebook atau TikTok. Justeru, saya beri peringatan supaya kita elak daripada mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan dan bersifat 3R.
“MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) sedang meneliti dan bekerjasama dengan polis untuk mengenal pasti pihak yang mungkin cuba menghasut dalam isu ini,” katanya kepada media selepas meninjau reruai di Persidangan Malaysia International Healthcare (MIH) Megatrends 2024 di sini hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas ketika tindakan 17 peserta warga China mengibarkan bendera republik berkenaan ketika sambutan perarakan di Menara Condong, Teluk Intan sempena sambutan Guan Gong Sedunia, kelmarin.
Terdahulu Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris, dilapor mengesahkan perarakan yang mengibarkan bendera negara asing dan turut tular di media sosial itu melanggar syarat di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.
Sementara itu, Fahmi yang juga jurucakap kerajaan menegaskan, tindakan penguatkuasaan akan diambil ke atas pihak yang dikenal pasti melakukan kes pengantunan kanak-kanak, didakwa dilakukan secara dalam talian.
Beliau berkata, MCMC bersama polis akan mengenal pasti laman sosial yang didakwa mengumpul bahan mengandungi gambar pelajar berpakaian mencolok mata yang dikongsikan di platform Facebook itu.
“MCMC memaklumkan yang mereka sedang bekerjasama dengan Meta dan Unit Khusus (D11) Polis Diraja Malaysia untuk mengesahkan kumpulan berkenaan, selain mengenal pasti tindakan yang dilakukan mereka.
“MCMC juga akan membantu pemprofilan dan pemuliharaan data, selain tindakan undang-undang pastinya akan diambil ke atas pihak terbabit, jika terbukti ada kesalahan,” katanya. – 26 Oktober, 2024