Kerajaan pastikan capaian internet di hospital dipertingkatkan menerusi prasarana 5G: Fahmi

Menteri Komunikasi berkata, hospital merupakan satu daripada tujuh kawasan yang diberikan keutamaan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk diselesaikan masalah kesalinghubungan

2:02 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan berusaha memastikan capaian internet dan kesalinghubungan di hospital awam dapat dipertingkatkan menerusi prasarana 5G, kata
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Menurutnya, hospital merupakan satu daripada tujuh kawasan yang diberikan keutamaan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk diselesaikan masalah kesalinghubungan.

“Kita harap lebih banyak hospital sama ada awam atau swasta yang akan meneliti dan memanfaatkan aplikasi dan teknologi yang boleh digunakan dengan kelajuan 5G.

“Untuk semua hospital kerajaan kita sedang berusaha untuk menyelesaikan dua perkara melibatkan inbuilding coverage bagi mobil telekomunikasi. Pertama kita selesaikan masalah asas
dan kedua ialah memastikan penyediaan prasarana 5G di hospital dapat disesuaikan dengan penggunaan aplikasi.

“Contoh di kawasan saya Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) isu yang dihadapi di sesetengah tingkat, blok atau wad ada masalah internet, begitu juga di Hospital Serdang,” katanya kepada media selepas meninjau reruai di Persidangan Malaysia International Healthcare (MIH) Megatrends 2024 di sini hari ini.

Terdahulu, majlis perasmian MIH Megatrends 2024 dengan kerjasama MCMC serta KPJ Healthcare itu disempurnakan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Hadir sama Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.

Selain itu Fahmi berkata, pihaknya juga ingin memastikan penyediaan satu prasarana 5G di hospital dapat disesuaikan dengan penggunaan aplikasi.

Majlis perasmian MIH Megatrends 2024 dengan kerjasama MCMC serta KPJ Healthcare itu disempurnakan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim diiringi Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad (kanan) dan Pengerusi KPJ Healthcare Berhad, Tan Sri Dr Ismail Bakar (kiri). – Gambar Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, 26 Oktober, 2024

“Ada sesetengah aplikasi yang kita lihat di MIH Megatrends ini dia memanfaatkan hololens yang mana untuk doktor-doktor pakar, mereka mungkin perlu melihat saringan ataupun beberapa imej yang telah dikumpulkan sama ada MRI dan sebagainya untuk mereka olah, kaji cara terbaik untuk menyelesaikan masalah kesihatan atau perubatan yang perlu ditangani

“Kita sedang berusaha untuk menyesuaikan kedua-dua ini. Tapi kalau kita lihat beberapa booth yang ada di sini, ada beberapa syarikat seperti TM One yang memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) untuk membantu hospital-hospital melakukan persiapan atau dalam proses pengesahan temu janji.

“Jadi tak perlu lagi panggilan dibuat oleh manusia tapi boleh dibuat secara AI. Ini sangat baharu, belum dilancarkan secara meluas tapi saya lihat ini antara aplikasi yang ditonjolkan dan harap dimanfaatkan hospital,” katanya.

Selain itu Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata, pihaknya berusaha sedaya upaya untuk memastikan 5G yang dapat dimanfaatkan oleh rakyat.

“Bukan hanya lebih meluas tapi sudah mencapai capaian lebih kurang 82% kawasan berpenduduk dan jumlah pengguna biasa sudah mencecah lebih 50% daripada semua pengguna perkhidmatan komunikasi

“Pencapaian rangkaian 5G di Malaysia menggambarkan keupayaannya, kelajuan untuk muat turun median 5G negara sebanyak 451.79 megabit sesaat (Mbps) adalah lebih pantas daripada negara jiran termasuk Singapura, Thailand dan Filipina

“Selain itu rangkaian 5G Malaysia mendapat skor konsistensi tertinggi di peringkat global untuk suku ke empat 2023 iaitu 97.3%.

“Sementara itu kelajuan muat turun median 5G meningkat dengan ketara sebanyak 20% dalam suku ketiga 2023 mencapai 203.04 mbps berbanding 168.27 mbps tempoh sama tahun sebelumnya.

MIH Megatrends 2024 berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini bermula Jumaat lalu hingga esok.

Acara selama tiga hari ini menarik lebih daripada 4,000 peserta termasuk profesional kesihatan, peneraju industri, pegawai kerajaan, pelabur, dan orang awam yang akan meneroka trend terkini yang akan membentuk masa depan penjagaan kesihatan. – 26 Oktober, 2024

Topics

 

Hangat

‘Very hurtful’: Chief justice exposes legal failures driven by distorted Islamic views

Tun Tengku Maimun Tuan Mat laments misinterpretations of faith that distort justice in high-profile rulings, cites Indira Gandhi and Nik Elin Zurina cases

Elderly, disabled face ‘roadblocks’ as public transport goes fully digital

Consumer group urges government and public transport companies to be more inclusive with digitalisation approach

Cops to call up 13 varsity students who joined Jan 25 anti-graft rally

Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia rep says this includes three from Sabah who would have to fly to KL; summoned rallygoers may meet police together on Sunday to receive notice

Related