MIH Megatrends 2024: Merapatkan jurang antara sektor untuk akses penjagaan kesihatan awam digital

Ia bertujuan menggalakkan perbincangan awam mengenai usaha memastikan akses penjagaan kesihatan yang adil dan mampan dengan menyatukan pemimpin, profesional, inovator dan pembuat dasar

10:00 AM MYT

 

CYBERJAYA – Syarikat-syarikat telekomunikasi memainkan peranan penting dalam usaha Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mencari penyelesaian kepada penjagaan kesihatan digital untuk orang awam.

Menerusi penganjuran Malaysia International Healthcare (MIH) Megatrends 2024 selama tiga hari mulai 25 Oktober ini, MCMC telah menetapkan penglibatan syarikat telekomunikasi dalam menyediakan inisiatif penjagaan kesihatan digital sebagai salah satu petunjuk prestasi utama (KPI) untuk program itu.

Acara ini, yang dianjurkan oleh Kementerian Kesihatan dengan kerjasama KPJ Healthcare dan MCMC sebagai rakan strategik, diadakan untuk menggalakkan perbincangan awam mengenai usaha memastikan akses penjagaan kesihatan yang adil dan mampan dengan menyatukan pemimpin, profesional, inovator dan pembuat dasar.

Merujuk kepada pembekal telekomunikasi terkemuka Australia, Telstra dan syarikat eHealthnya, Telstra Health, objektif MCMC untuk MIH Megatrends adalah untuk meningkatkan keupayaan telekomunikasi untuk menjadi syarikat teknologi. – Gambar hiasan media sosial, 24 Oktober, 2024

Melihat kepada respons daripada syarikat telekomunikasi mengenai kemajuan inisiatif penjagaan kesihatan digital yang memberangsangkan, Timbalan Pengarah Urusan MCMC, Datuk Zulkarnain Mohd Yasin berkata, salah satu tumpuan suruhanjaya itu ialah memperlihatkan bagaimana perkhidmatan penjagaan kesihatan digital akan memberi manfaat kepada rakyat.

“Secara umumnya, kami (MCMC) melihat sejauh mana syarikat telekomunikasi boleh bergerak dengan pantas untuk menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan digital,” kata Zulkarnain dalam satu wawancara eksklusif dengan Scoop di ibu pejabat MCMC di Cyberjaya.

“Kami telah melihat 5G dipamerkan dalam perkhidmatan penjagaan kesihatan, tetapi menerapkan (kemampuan tersebut) adalah sesuatu yang kami harapkan untuk dicapai dan merupakan inisiatif yang kami sasarkan untuk penyedia perkhidmatan kami.”

Beliau menambah, syarikat telekomunikasi berada dalam kedudukan strategik untuk menangani cabaran kebolehoperasian dalam sektor penjagaan kesihatan dengan memudahkan dan melancarkan pertukaran data di pelbagai platform dan perkhidmatan.

Dengan memanfaatkan keupayaan rangkaian yang luas, syarikat telekomunikasi, kata Zulkarnain, boleh memastikan komunikasi berkesan antara sistem penjagaan kesihatan yang berbeza dan meningkatkan kecekapan operasi, sekali gus mewujudkan pendekatan penjagaan pesakit yang lebih berkoordinasi, dan berkemungkinan memberikan hasil yang lebih baik.

Beliau berkata, syarikat telekomunikasi juga mempunyai keupayaan untuk meningkatkan penyampaian penjagaan kesihatan dengan menawarkan pakej bersepadu merangkumi sambungan internet, platform telehealth dan penyelesaian pengurusan data untuk hospital-hospital, klinik serta farmasi.

Penawaran komprehensif seperti itu, katanya, mempunyai potensi untuk meningkatkan kecekapan keseluruhan perkhidmatan penjagaan kesihatan.

“Selain itu, pelaksanaan model berasaskan langganan membolehkan syarikat telekomunikasi menyediakan sokongan berterusan dan akses kepada penyelesaian penjagaan kesihatan masa hadapan tanpa mengenakan kos pendahuluan yang besar kepada penyedia penjagaan kesihatan.

“Model ini boleh menggabungkan tahap perkhidmatan bertingkat, memberikan akses kepada pelbagai fungsi seperti perundingan telemedicine, pemantauan pesakit jauh dan kecerdasan buatan (AI) dalam industri penjagaan kesihatan,’’ katanya.

Merujuk kepada pembekal telekomunikasi terkemuka Australia, Telstra dan syarikat eHealth negara itu, Telstra Health, Zulkarnain berkata objektif MCMC menerusi MIH Megatrends adalah bagi meningkatkan keupayaan telekomunikasi untuk menjadi syarikat teknologi.

“Telstra Health mencatatkan kejayaan di mana hospital di Australia telah mengurangkan kemasukan semula pesakit menerusi penyelesaian rawatan di rumah, menjadi contoh kepada syarikat telekomunikasi untuk mempertimbangkannya ketika mereka berusaha untuk mengembangkan pasaran dan keupayaan mereka.

“Sebagai pengawal selia, kami mahukan penyedia perkhidmatan (di sini) menjadi syarikat teknologi yang bukan sahaja terlibat dalam menyediakan perkhidmatan komunikasi malah dalam aspek aplikasi, yang akan membawa perkhidmatan lebih dekat kepada rakyat.’’

MIH Megatrends juga akan menawarkan peluang besar kepada pelabur tempatan dan antarabangsa untuk menyumbang kepada inovasi penjagaan kesihatan, termasuk pembangunan Hospital Pintar di Malaysia.

MCMC, kata Zulkarnain, sedang bekerjasama dengan Agensi Pembangunan dan Perdagangan Amerika Syarikat (USTDA) untuk mendapatkan geran bertujuan menukar beberapa hospital di sini menjadi Hospital Pintar, antara insiatif lain yang akan dibincangkan pada acara itu.

“Pendigitalan ekosistem penjagaan kesihatan bukan hanya mengenai Hospital Pintar. Kami juga sedang melihat inovasi perkhidmatan farmaseutikal dan berpotensi meneroka peranti boleh pakai yang digunakan untuk memantau dan menghantar data kesihatan ke hospital serta klinik.’’

Acara ini juga melibatkan kerjasama dengan Suruhanjaya Perdagangan dan Pelaburan Australia serta Suruhanjaya Tinggi British, yang menonjolkan peranan penting program itu dalam memastikan kedudukan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam inovasi penjagaan kesihatan. – 24 Oktober, 2024

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Related