KUALA LUMPUR – Bekas banduan, Khairul Anuar Zakaria, 64, yang menghabiskan masa di penjara selama 22 tahun empat bulan atas kesalahan membunuh kerat lapan, mempertahankan tindakannya berkongsi pengalaman dalam penjara di media sosial.
Menurut Khairul atau lebih dikenali sebagai Abah Hayat, meskipun berdepan dengan pelbagai persoalan daripada orang ramai, namun menyifatkan apa yang dilakukannya itu sebagai memberikan manfaat kepada ramai.
Khairul turut meminta orang ramai supaya tidak memandang apa yang dilakukannya itu dari satu sisi sahaja.
“Macam-macam komen saya terima dalam media sosial. Ada yang tidak puas hati dan ada yang meminta saya mengenang keluarga mangsa.
“Saya bukan tak fikir tapi atas kesedaran saya buat (berkongsi di media sosial), supaya perkara ini tidak berlaku kepada orang lain.
“Ada yang minta saya bersembunyi, tapi selama 23 tahun itu saya diajar supaya takut kepada Allah, sebagai hamba yang lemah, tiada keperluan untuk saya menyembunyikan diri,’’ katanya menerusi klip video di saluran YouTubenya.
Khairul dibebaskan dari Penjara Pokok Sena pada 3 Oktober lalu.
Dia dipenjarakan selepas didapati bersalah membunuh seorang tukang besi dengan tubuh mangsa dikerat lapan bahagian di Taman Datuk Kumbar, Kedah pada 4 Jun 2001.
Pada 2008, Khairul dijatuhkan hukuman gantung sampai mati sebelum mendapat pengampunan daripada Sultan Kedah pada Mei 2018 dan status banduan akhir berubah kepada banduan hayat.
Pada Februari 2024, kes berkenaan dibawa ke Mahkamah Alor Setar semula kerana kerajaan memansuhkan hukuman hayat ke atas semua banduan di penjara dan hukumannya digantikan dengan hukuman penjara selama 35 tahun dari tarikh tangkap, iaitu pada 2001.
Bagaimanapun tindakan Khairul membuka akaun TikTok telah mencetuskan kemarahan sebahagian netizen yang memintanya supaya menyimpan kisahnya yang disifatkan sebagai sesuatu yang mengaibkan.
Menurut Khairul, tujuan dia berkongsi kisahnya ialah kerana ada yang keluarga banduan yang meminta petua darinya kerana ada anggota keluarga mereka yang mengalami kemurungan di dalam penjara.
“Ada yang tidak puas hati tetapi di luar sana ada suami, anak dan keluarga yang masuk ke penjara dengan pelbagai kes. Ada yang minta tips bagaimana untuk menghadapi kehidupan di dalam sana.
“Jangan tengok pada sudut yang salah,’’ katanya yang kini cuba menyesuaikan diri dengan keadaan semasa selepas sekian lama di penjara. – 23 Oktober, 2024