Saya dah jangka tanah runtuh akan berlaku, beberapa bulan lepas ada runtuhan kecil: Yusof Haslam

Menurut Yusof yang sudah 30 tahun menetap di Taman Melawati, kejadian tanah runtuh pagi tadi berlaku kira-kira 400 meter dari rumahnya

8:46 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Pengarah dan penerbit popular, Datuk Yusof Haslam sudah menjangkakan insiden kejadian tanah runtuh akan berlaku di lereng bukit di Taman Melawati di sini, selepas beberapa runtuhan kecil berlaku sebelum ini.

Menurut Yusof yang sudah 30 tahun menetap di situ, kejadian tanah runtuh pagi tadi berlaku kira-kira 400 meter dari rumahnya.

Jelasnya kepada Scoop. tiada langkah kawalan keselamatan yang sepatutnya diambil selepas runtuhan kecil tersebut berlaku beberapa bulan lepas.

“Saya nampak tanah ini akan runtuh dan jika tidak berbuat sesuatu, maka apabila hujan lebat tadi, air longkang yang mengalir melimpah sehingga menghakis tanah dan menyebabkannya runtuh.

“Beberapa bulan lalu juga sudah berlaku runtuhan kecil di kawasan sama kerana tiada sebarang langkah kawalan keselamatan dilakukan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Datuk Yusof Haslam berkata beliau mengambil langkah keselamatan dengan memasang retaining wall di kawasan rumahnya dan melabur sejumlah wang bagi memastikan kawasan itu tidak terjejas – Gambar dari media sosial, 15 Oktober, 2024

Terdahulu, Scoop melaporkan pihak berkuasa telah mengarahkan penduduk di 20 kediaman yang terletak berhampiran runtuhan tanah di tebing setinggi 30 meter di Jalan E6, Taman Melawati, Ampang untuk mengosongkan kediaman masing-masing.

Sebelum itu, tular di media sosial video memaparkan runtuhan tebing berkenaan menyebabkan beberapa pokok tumbang di kawasan perumahan penduduk.

Mengulas lanjut, Yusof memberitahu beliau telah mengambil langkah keselamatan dengan memasang retaining wall (tembok penahan tanah) di kawasan rumahnya dan melabur sejumlah wang bagi memastikan ia selamat serta tidak terjejas disebabkan bencana alam.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah yang sudah dibelanjakan itu.

“Sebagai pemilik rumah, kita kena jaga semua aspek (keselamatan), rumah saya penuh (dikelilingi) retaining wall dan ia melibatkan perbelanjaan yang tinggi.

“Selain itu, saya dan pekerja juga sentiasa pantau kawasan sekitar rumah dan dalam satu atau dua tahun sekali, saya akan panggil jurutera tengok…Alhamdulillah, setakat ini sistem longkang dan penahan air tiada halangan,” katanya.

Menurutnya, apa yang mampu dilakukan adalah sentiasa peka dengan setiap perubahan yang berlaku bagi menghindari perkara buruk.

“Sejak saya tinggal di sini hampir 30 tahun lalu, tak pernah kosongkan kediaman (berpindah sementara) tapi kita tetap ambil langkah-langkah keselamatan, ikut nasihat jurutera.

“Bukan nak kata saya terlebih yakin tapi saya serah pada Allah. Masa saya mula-mula duduk di sini pun, saya kurang buat protection, tapi bila kerap kali hujan, saya dah mula ambil langkah-langkah tertentu tapi kalau berlaku juga (bencana alam), itu kuasa Allah,” katanya. – 15 Oktober, 2024

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Authorities wrong: Activist debunks claims of stray animals in UM cat mutilations

Evidence from a private vet points to deliberate human actions, challenging official accounts and sparking demands for justice

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Related