Isu kalah di Bagan Datuk: ‘Saya tidak bercadang untuk berpolemik’ kata Shamsul Iskandar

Presiden PKR memberitahu beliau ketika itu bahawa kerajaan perpaduan sedang dibentuk justeru ia mempunyai proses tertentu apatah lagi Zahid adalah Presiden Umno

5:40 PM MYT

 

KUALA LUMPUR –  Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin menjelaskan beliau tidak mencabar keputusan kemenangan tipis kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Parlimen Bagan Datuk pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) untuk membolehkan kerajaan perpaduan dibentuk.

Menerusi kenyataan kepada Scoop, Shamsul Iskandar berkata, ketika itu Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahunya bahawa kerajaan perpaduan sedang dibentuk justeru ia mempunyai proses tertentu apatah lagi Zahid adalah Presiden Umno.

“Saya sebut (dalam podcast) Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa kami sedang membentuk kerajaan justeru jelas di situ pembentukan itu tentu ada prosesnya.

“Bincang (dengan Umno), setuju dan sembah kepada Yang di-Pertuan Agong,’’ katanya hari ini.

Terdahulu, tular klip video ketika Shamsul Iskandar menjadi tetamu Podcast ‘Apa Cerita’ baru-baru ini, di mana beliau mendakwa diminta oleh Presiden PKR untuk tidak mencabar kemenangan tipis Zahid pada PRU15 di Parlimen Bagan Datuk.

Dalam podcast itu, Shamsul memberitahu beliau mahu pengiraan semula kertas undi diadakan disebabkan perbezaan undi yang tipis iaitu sebanyak 348.

“Dia (Anwar) telefon, dia kata, ‘Okay saya kagum dengan anda punya kerja kuat di Bagan Datuk dan sebagainya. Tapi Sam, kita nak tubuh kerajaan. Zahid telah pun keluar surat tanda tangan untuk menubuhkan kerajaan’,” kata Shamsul Iskandar dalam podcast tersebut.

Mengulas lanjut, Shamsul Iskandar berkata, beliau hadir ke Podcast Apa Cerita secara santai bagi menceritakan pengalaman dan perjalanannya sebagai ahli politik muda, justeru video itu perlu ditonton secara keseluruhan kerana ia mempunyai kesinambungan antara satu sama lain.

“Saya ambil jalur rasmi dan pengalaman (catatan) peribadi untuk menjawab persoalan yang diberikan. Tidak bercadang untuk berpolemik,’’ katanya.

Dalam pada itu, Shamsul Iskandar turut menghargai kenyataan yang dikeluarkan oleh Duta Besar ke Amerika Syarikat, Datuk Seri Nazri Aziz berhubung isu berkenaan di mana Nazri menegaskan rundingan untuk membentuk sebuah kerajaan bukan satu kesalahan.

“Walaupun berjauhan di Washington, tetapi (beliau) sangat memahami konteks dan perspektif,’’ katanya.

Terdahulu, Nazri dalam kenyataannya kepada Astro Awani menegaskan rundingan antara parti untuk membentuk kerajaan merupakan perkara biasa dalam amalan demokrasi.

Katanya, yang menjadi kesalahan adalah bila berlakunya cubaan membeli Ahli Parlimen untuk mendapatkan sokongan bagi menubuhkan kerajaan.

“Jika tidak ada majoriti bukan satu kesalahan untuk rundingan diadakan bagi membentuk sebuah kerajaan.

“Yang salah adalah apabila ada pihak cuba membeli Ahli Parlimen untuk mendapatkan sokongan.

“Jika Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) berunding dengan Zahid (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) ia tidak salah kerana tidak ada pihak yang dapat menubuhkan kerajaan,’’ kata Nazri.

Mengulas lanjut, Shamsul Iskandar berkata beliau turut berkongsi pandangan dengan Ketua Penerangan Umno, Datuk Seri Azalina Othman Said berhubung isu tersebut di Parlimen pagi tadi.

Azalina dalam kenyataannya semalam meminta Shamsul Iskandar memberikan tumpuan kepada kestabilan politik negara dan mengelakkan dari sebarang kenyataan yang boleh mendatangkan kekeliruan.

Menurut Azalina, ketelusan dan menghormati proses demokrasi adalah penting dalam arena politik, khususnya yang berkaitan dengan pilihan raya.

“Sebagai ahli politik yang berpengalaman, kita sewajarnya bertindak dengan penuh tanggungjawab, terutama ketika berbicara soal keputusan pilihanraya bagi memelihara integriti politik,’’ katanya. – 15 Oktober, 2024

Topics

 

Hangat

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Lelaki Itu bongkar konflik rumah tangga, penonton juga alami perkara sama: Sarimah Ibrahim

Isu kesihatan mental yang cuba diangkat dalam drama bersiri Lelaki Itu antara faktor utama artis versatil, Che Puan Sarimah Ibrahim bersetuju membawakan watak sebagai Sharifah Qaidah.

Related