Wanita rempuh pelajar UiTM didakwa 3 tuduhan bunuh

Majistret Nur Amirah Fatihah memutuskan Norizan dihantar ke Hospital Permai Johor Bahru untuk pemeriksaan mental selama sebulan dan menetapkan 17 November untuk sebutan semula kes

4:45 PM MYT

 

DUNGUN –  Pemandu wanita yang melanggar empat pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun pada Rabu, didakwa atas tiga pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret, di sini hari ini.

Norizan Ismail, 49, didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Muhammad Akmal Md Tukirin, 25, Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20, dan Khairil Anwar Jamaludin, 20, pada 7.35 malam, 9 Okt di Jalan Pantai berhadapan UiTM Dungun.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada ibu kepada tiga anak itu.

Jika sabit kesalahan wanita itu boleh dijatuhkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun, namun jika tidak dihukum mati dia hendaklah juga disebat tidak kurang daripada 12 sebatan.

Norizan ketika memasuki mahkamah menyatakan dirinya malu dan enggan berdiri dalam kandang tertuduh ketika diminta jurubahasa untuk menyebut nama dan nombor kad pengenalannya, namun kemudiannya mengesahkan maklumat peribadinya yang ditayangkan di skrin televisyen mahkamah.

Setelah pertuduhan pertama dibacakan, Norizan menyatakan; “Saya terima saya dituduh” apabila disoal jurubahasa sama ada dia memahami pertuduhan tersebut.

Pengarah Pendakwaan Negeri Azizan Abdullah yang mengendalikan kes kemudiannya berkata tingkah laku tertuduh menunjukkan keadaan mentalnya, sebelum meminta jurubahasa membaca baki dua lagi pertuduhan.

Ketika pertuduhan kedua dibacakan Norizan telah mengangguk faham sebelum menggelengkan kepala selepas pertuduhan ketiga dibacakan, namun dia menganggukkan kepalanya selepas pertuduhan dibacakan semula.

Majistret Nur Amirah Fatihah Osman bertanya mengenai apa yang Norizan faham, dan wanita itu menjawab “Apa yang jurubahasa baca tadi. Saya dituduh langgar orang. Saya faham dia cakap. Tapi saya tidak tahu bunuh siapa.”

Azizan tidak menawarkan sebarang jaminan berkata tertuduh menunjukkan ciri-ciri ketidakwarasan termasuk ketika siasatan dijalankan dan memohon agar wanita itu dihantar untuk penilaian mental mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah, sebelum dipersetujui peguam Nur Farahin Shazlin Mohd Redhuan Shah Edwin yang mewakili Norizan.

Nur Amirah Fatihah kemudian memutuskan Norizan hantar ke Hospital Permai Johor Bahru untuk pemeriksaan mental selama sebulan dan menetapkan 17 Nov untuk sebutan semula kes.

Dalam kejadian pada 7.35 malam pada Rabu, Norizan yang memandu sebuah kenderaan utiliti sukan telah merempuh empat pelajar UiTM Dungun hingga menyebabkan Ku Adib Aizad Ku Azmi, Khairil Anwar Jamaludin dan Muhammad Akmal Md Tukirin meninggal dunia, manakala Muhammad Ammar Danish Mohamad Ridhuan, 20, cedera. – 15 Oktober, 2024

Topics

 

Hangat

Ex-national basketball player arrested for alleged sexual harassment against students

Cheras top cop confirms source's claims, says 36-year-old suspect also has multiple simillar reports lodged against him before; source questions why MoE allowed him to teach

Anwar’s plan: protecting Petronas and restoring the ringgit – Tuan Muda

How the prime minister’s reforms are taking shape in crucial institutions

Umno on life support: time for Anwar to pull the plug and bury the loonies – Tuan Muda

The writer doesn't mince his words when he calls for curtains on Malaysia's once premier Malay party

Related