Kerajaan tawar program rehabilitasi secara sukarela kepada ahli GISBH

Program secara berfasa yang dihasratkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu bermatlamat memberikan bimbingan secara lebih sistematik membabitkan isu akidah

8:44 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kerajaan menawarkan program rehabilitasi secara sukarela kepada ahli GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) yang masih bebas di negara ini untuk mereka kembali ke ajaran Islam yang sebenar.

Timbalan Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Baharuddin Ahmad berkata pendaftaran bagi program selama tiga bulan itu dibuka hari ini hingga 14 Nov depan serta mengalu-alukan penyertaan ahli organisasi berkenaan tanpa mengira usia dan jantina.

Beliau berkata program secara berfasa yang dihasratkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu bermatlamat memberikan bimbingan secara lebih sistematik membabitkan isu akidah selain memastikan ahli GISBH mampu meneruskan kelangsungan hidup dan berasimilasi dengan masyarakat selepas tindakan penguatkuasaan dikenakan terhadap syarikat berkenaan.

Ia selaras dengan prinsip insan yang menjadi pegangan kerajaan MADANI iaitu peserta program ini tidak akan dilihat sebagai pesalah sebaliknya dianggap mangsa GISBH.   

“Ahli yang berminat boleh mendaftar secara dalam talian di pautan http://form.jotform.com/242760538389468 atau mengimbas kod QR yang disediakan selain hadir mendaftar di mana-mana Pejabat Agama Islam Negeri, pejabat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan di Ibu Pejabat Polis Daerah di seluruh negara.

“MKN mempunyai jentera yang mencukupi agar data peserta yang berdaftar untuk program ini dijalankan secara sistematik dan lancar, ahli yang menerima ancaman atau ugutan kerana ingin menyertai program ini disarankan membuat laporan polis bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut ” katanya dalam sidang media di Pejabat MKN Kuala Lumpur di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah MKN Datuk Raja Nurshirwan Zainal Abidin, Ketua Pengarah JAKIM Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee dan Pengarah Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak Dr Sopian Ibrahim.

Baharuddin berkata MKN dilantik untuk menerajui program rehabilitasi itu selaras dengan peranannya sebagai agensi pusat yang bertanggungjawab dalam isu keselamatan selain bagi menyelaras kerjasama antara pelbagai kementerian dan agensi kerajaan untuk menjayakan program berkenaan.

Antara kementerian dan agensi yang terlibat ialah Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan, Kementerian Luar dan Polis Diraja Malaysia selain Jabatan Agama Islam negeri seluruh negara.

Mengulas lanjut, beliau berkata mereka yang mendaftar akan disaring bagi tujuan logistik sebelum dihantar ke lebih 20 pusat rehabilitasi yang telah ditetapkan di seluruh negara mengikut zon utara, selatan, tengah, Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata mereka yang berada di luar negara juga boleh mendaftar untuk menyertai program berkenaan dan MKN serta JAKIM akan memikirkan langkah seterusnya. 

Berdasarkan siasatan polis, organisasi berkenaan mempunyai  cawangan di 19 buah negara antaranya di Sydney Australia, New York Amerika Syarikat dan Bosnia and Herzegovina.

Burhanuddin berkata pihaknya akan memastikan peserta tidak diasingkan daripada keluarga masing-masing sepanjang menjalani program rehabilitasi berkenaan dengan menyediakan makanan, kelengkapan dan tempat tinggal yang selesa secara percuma.

“Semasa mengikuti program ini mereka akan diberikan pemulihan daripada aspek akidah, syariah, pendidikan, kesihatan, kenegaraan serta latihan kemahiran dan kemudian mereka akan dinilai oleh pegawai penilai daripada JAKIM selepas 90 hari atau kurang, peserta juga akan diberikan bimbingan susulan jika diperlukan.

“Kerajaan bersungguh-sungguh mahu ahli GISBH pulih daripada permasalahan akidah dan kelangsungan hidup mereka agar dapat bersama dengan masyarakat dengan lestari melalui penganjuran program rehabilitasi ini,” katanya. – 14 Oktober, 2024

Topics

 

Hangat

IS launched ‘official’ Malay media group with IED drone manual, firm warns

An international security think tank has warned of the Islamic State terrorist group's latest tactic to expand its influence in Malaysia.  

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Related