SPRM geledah dua lagi ‘safehouse’, lebih RM300,000 wang rasuah ditemui: Azam Baki

Setakat ini SPRM sudah menahan empat orang dan mengambil keterangan membabitkan 15 saksi

1:35 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggeledah dua premis di ibu negara yang dijadikan ‘safehouse’ sebelum merampas sejumlah wang tunai berjumlah RM321,000 berkait siasatan rasuah konsesi pasir.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, serbuan itu dilakukan susulan rampasan wang tunai hampir RM5 juta selepas menggeledah sebuah pangsapuri dikaitkan dengan seorqng ahli politik berpengaruh sebelumnya.

“Serbuan yang terbaharu dilakukan semalam di sekitar kawasan Lembah Klang dan Kuala Lumpur. Satu daripadanya membabitkan sebuah pejabat, manakala satu lagi premis tidak diperincikan.

“Pegawai saya telah kira, ada tambahan (penggeledahan) dua safehouse lagi. Salah satu daripadanya, ada penemuan SG$74,000 (RM243,000).

“Kemudian di satu tempat di pejabat, dijumpai wang lebih kurang RM78,000. Kita juga telah mendapat maklumat ada wang dibuat pelaburan di Singapura… yang itu saya tidak boleh dedahkan berapa jumlahnya, siapa pemiliknya,” katanya kepada media di Kota Kinabalu hari ini.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya sudah menahan empat orang dan mengambil keterangan membabitkan 15 saksi.

Katanya, mereka yang ditahan membabitkan seorang pengarah syarikat, seorang bekas eksekutif kanan di Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) berusia 45 tahun, bekas pemandu berusia 43 tahun dan seorang wanita berusia 46 tahun yang juga bekas pegawai kewangan.

“Pemandu terbabit hanya ditahan sehari berikutan dia menghidap kanser prostat, dua lagi dibebaskan dengan jaminan SPRM semalam manakala seorang lagi direman sehingga 15 Oktober (esok).

“Pihak kami percaya lebih banyak wang tunai yang dilaburkan di Singapura dan disimpan di bank-bank lain, kita akan teruskan siasatan lanjut berkait perkara ini,” katanya.

Ditanya sekiranya SPRM sudah memanggil ahli politik yang terbabit untuk siasatan selanjutnya, Azam berkata individu itu akan dipanggil setelah mendapat bukti mencukupi.

“Saya tak boleh dedahkan siapa ahli politik itu, ya dia akan dipanggil pada satu masa yang difikirkan sesuai oleh pegawai penyiasat saya.

“Seperti mana lazimnya, kami perlu mendapatkan segala bukti yang kita rasa wajar, kita perlukan dan telah disahkan, barulah orang berkenaan akan dipanggil.

“Saya memang tidak akan menolak atau menafikan beliau akan dipanggil tapi selepas kami ataupun pegawai penyiasat saya berpuas hati tentang beberapa lagi penemuan dokumen dan juga wang yang berkaitan,” katanya.

Azam juga tidak menolak, lebih banyak serbuan, tangkapan akan dilakukan dan saksi akan dipanggil untuk membantu siasatan kes itu.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 16, Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

Terdahulu SPRM menemukan sejumlah wang asing bernilai kira-kira RM5 juta selepas menggeledah sebuah pangsapuri di sini, yang didakwa dijadikan tempat simpanan atau ‘safehouse’ seorang ahli politik berpengaruh kemarin.

Susulan serbuan itu, yang dilakukan sekitar jam 10 malam itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi Scoop mengesahkan dua suspek ditahan.

Beliau berkata, ia membabitkan perbuatan rasuah berhubung mendapat konsesi pasir daripada Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI).

Sumber dalam pada itu memberitahu, pangsapuri berkenaan, dipercayai disewa oleh seorang ahli perniagaan sebagai tempat penyimpanan wang hasil rasuah.

Menurut sumber, dua suspek berkenaan didakwa ada kaitan dengan ahli politik terkenal yang pernah mempunyai pengaruh politik di Selangor. – 14 Oktober, 2024

Topics

 

Hangat

Let us not forget our unsung heroes – Ravindran Raman Kutty

We must recognise the many ordinary Malaysians doing extraordinary things

Tiong King Sing gets feet wet to aid victims as over 1,000 evacuated in Sarawak floods

Women, Family & Community Development Minister Datuk Seri Nancy Shukri says assistance was immediately mobilised on first day of Chinese New Year

Vehicles plough into pedestrians in vicious hit-and-run attack near Old Klang Road

Two individuals left injured as sedan and pickup truck deliberately ram into group, police probe attempted murder

Related