RUU Mufti: ‘Jangan timbulkan keraguan’ ia bukan sekat kebebasan warganegara

Mufti Wilayah Persekutuan hanya bertanggungjawab menentukan persoalan hukum syarak yang menyentuh undang-undang diri bagi orang Islam di Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya

4:02 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Dakwaan penggubalan Rang Undang-undang (RUU) Mufti (Wilayah Persekutuan) 2024 akan menggugat kebebasan warganegara adalah tidak benar, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar.

Ketika menyangkal dakwaan itu, beliau sebaliknya berkata seseorang individu mempunyai hak kebebasan seperti yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan namun kebebasan tersebut tidak bersifat mutlak kerana dibataskan antara lain Perkara 8(5)(a), 10, dan 11(5).

“Sebagai contoh, hak kebebasan beragama di bawah Perkara 11 Perlembagaan ialah untuk hidup beragama, bukanlah hidup tidak beragama. Hak kebebasan beragama bagi orang Islam ialah kebebasan untuk mengamalkan ajaran agama yang sebenar seperti ditentukan oleh ulil amri atau ketua agama.

“Dalam penentuan ajaran agama Islam yang sebenar maka ia hendaklah berlandaskan Hukum Syarak.

“Mufti Wilayah Persekutuan hanya bertanggungjawab menentukan persoalan hukum syarak yang menyentuh undang-undang diri bagi orang Islam di Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya,’’ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Na’im memaklumkan Rang Undang-undang (RUU) Mufti (Wilayah Persekutuan) 2024 akan dibentangkan untuk bacaan kali kedua dan ketiga pada sidang Parlimen yang bermula Isnin ini.

Kabinet, katanya bersetuju agar RUU Mufti ini dibentangkan untuk bacaan kedua dan ketiga dalam sidang Parlimen kali ini.

Bagaimanapun beberapa pihak membantah pembentangan RUU Mufti ini dengan alasan ia memberikan kuasa yang luas kepada individu yang tidak dipilih tetapi dilantik seorang menteri, selain mengawal rapi bagaimana umat Islam mengamalkan ajaran agama.

Rang Undang-Undang (RUU) Mufti Wilayah Persekutuan 2024 juga didakwa sebagai autoritarianisme dan memberikan kekuasaan mutlak kepada Mufti.

Na’im memberitahu, sekatan kebebasan seseorang itu tidak bermakna dakwaan berlaku perlanggaran terhadap hak asasi itu benar kerana keabsahan suatu hak asasi itu ditentukan oleh Perlembagaan.

Jelasnya, ada sesetengah pihak keliru dan salah faham terhadap fungsi dan kuasa Mufti di bawah sistem perundangan negara malah tindakan mempertikaikan kuasa Mufti atas alasan penjawatnya tidak dipilih oleh rakyat adalah tidak berpelembagaan.

“Kuasa yang dilaksanakan oleh mana-mana individu seperti Mufti dan Ketua Pengarah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan ini adalah berdasarkan kuasa yang diberikan oleh Akta mengikut bidang kepakaran masing-masing.

“Pelantikan mereka dibuat melalui undang-undang dan bukannya secara pentadbiran semata-mata,’’ katanya.

Justeru, beliau meminta semua pihak supaya tidak menimbulkan keraguan dalam kalangan masyarakat Islam dan bukan Islam diakibatkan tafsiran yang salah terhadap RUU Mufti.

“RUU Mufti digubal bertujuan untuk mengadakan peruntukan bagi perkara yang berhubungan dengan Mufti, penentuan perkara mengenai hukum dan doktrin Syarak serta perkara yang berkaitan di Wilayah-Wilayah Persekutuan sahaja. – 12 Oktober, 2024

Topics

 

Hangat

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

FashionValet a loss-making entity before and after Khazanah, PNB’s RM47 mil investment

GLICs bought stakes in 2018, company records show total RM103.3 million losses after tax from 2017 to 2022

Related