KUALA LUMPUR – Tindakan penukaran balai membabitkan pegawai kanan serta anggota polis yang dipercayai berparti dalam Bilik Siasatan Jenayah di sebuah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) adalah prosedur biasa melibatkan kes salah laku dalam pasukan beruniform.
Bercakap kepada Scoop, penganalisis jenayah, Datuk Shahul Hamid Abdul Rahim berkata, arahan penukaran serta-merta itu sememangnya wajar bagi membolehkan siasatan dilakukan secara terperinci dan mengelakkan sebarang kepentingan peribadi.

“Tindakan menukar jabatan atau balai polis adalah prosedur biasa, sama juga dengan mana-mana kakitangan awam kalau terlibat dalam kes salah laku.
“Perkara ini dibuat agar tidak mengganggu sebarang siasatan, yang kebiasaannya mungkin mengambil masa dalam satu hingga dua minggu bergantung kepada keseriusan kesalahan yang dilakukan.
“Bukannya tiada anggota polis yang digantung tugas atau dibuang kerja, cumanya pegawai bertugas perlu melakukan siasatan lanjut sebelum sebarang keputusan diambil kelak,” katanya.
Beliau mengulas desakan orang ramai yang menggesa tindakan lebih tegas sepatutnya dikenakan terhadap anggota polis terbabit bukannya dihantar ke lokasi bertugas yang lain.
Menurut Shahul lagi, penukaran balai dilihat antara langkah yang berkesan kerana mereka yang terlibat akan diasingkan, sekali gus mengelakkan anggota terbabit bergelumang dengan kes salah laku sama.
“Ini juga secara tidak langsung, membolehkan pegawai yang menyiasat kes ini melakukan tugas dengan sebaik mungkin (tanpa wujud ‘conflict of interest’),” katanya.
Terdahulu Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan memaklumkan pegawai dan anggota yang terlibat dalam kes tersebut telah ditukarkan ke balai polis di Johor dan Kelantan serta merta.
Tiga anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang ditangkap selepas didapati positif dadah semasa berhibur di pusat hiburan di Taman Dutamas, Cheras baru-baru ini.
Kesemua anggota itu kini sedang disiasat di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda tidak melebihi RM5,000.
Dalam pada itu, Shahul juga bersetuju siasatan rapi dan menyeluruh perlu dijalankan berhubung jenayah berkaitan dadah yang melibatkan anggota polis.
Menurutnya, perkara itu perlu dikaji sama ada daripada mana datangnya sumber bekalan dadah dalam kalangan anggota polis.
“Kalau betul mereka dapat daripada bilik barang bukti polis, pastinya ia akan dapat dikesan kerana setiap barang bukti yang ada direkodkan.
“Ataupun mereka dapatkan daripada ‘pusher’, itu yang kita kena siasat.
“Sebagai anggota polis, mereka seharusnya menjalankan tugas dengan penuh integriti…bukan sebaliknya, terlibat dengan jenayah,” katanya.
Semalam, Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng berkata, siasatan menyeluruh perlu dilakukan berkaitan kesalahan jenayah melibatkan anggota polis, bukan hanya tertumpu kepada kes-kes individu.
“Adakah anggota yang tidak berintegriti ini sebahagian daripada rangkaian jenayah yang lebih besar? Adakah mereka mencuri dadah daripada pengedar atau daripada bilik barang bukti polis?
“Soalan-soalan ini perlu dijawab jika kita serius mahu mengambil langkah berkesan dalam membanteras rasuah dan jenayah dalam pasukan polis,” katanya. – 8 Oktober, 2024