KUALA LUMPUR – Peluang untuk Perikatan Nasional (PN) melakukan kejutan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, esok, agak tipis berikutan ketandusan isu selain masih menggunakan naratif Melayu dan Islam untuk meraih undi.
Bercakap kepada Scoop, penganalisis politik, Profesor Madya Mazlan Ali berkata, apabila tiada isu yang boleh digunakan ketika berkempen, ia akan menyukarkan PN dan menjelang akhir-akhir kempen pula cubaan serangan peribadi dilakukan terhadap calon BN.

“Dari sudut ekonomi yang bertambah baik, kita tidak ada dengar isu ayam tidak ada atau telur tidak ada mahu pun rintihan harga barang mahal.
“PN nak bawa isu harga barang, minyak diesel di pentas kempen dah tak laku, harga diesel dah beberapa kali turun, RON95 pula macam tak nampak kerajaan akan naikkan harga,’’ katanya ketika dihubungi Scoop.
Beliau turut memaklumkan ekonomi negara yang semakin memberangsangkan di bawah Kerajaan Perpaduan juga bakal mempengaruhi pengundi dalam memilih wakil rakyat di DUN Mahkota.
‘Mood’ ekonomi yang baik, katanya boleh memberi kelebihan kepada calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussein Syed Abdullah.
“Jadi atas kertas saya lihat BN boleh menang, cuma majoritinya meningkat atau berkurangan itu bergantung kepada peratusan keluar mengundi nanti,” katanya.
Menurut Mazlan, untuk PN ‘bercita-cita’ mahu membuat kejutan pula bergantung kepada kemampuan mereka menarik pengundi yang berada di luar terutama golongan muda untuk pulang mengundi.
“Jumlah pengundi muda di sini tinggi lebih 50% dan sebelum ini juga kita lihat peningkatan trend anak muda menyokong PN.
“Cuma susulan di Nenggiri apabila Umno dan calon Pemudanya menang, kita nak lihat juga di Mahkota ini adakah ada trend pengundi muda sudah kembali kepada Umno,” katanya.
Sementara itu penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Rusdi Omar berkata, faktor calon BN yang lebih dekat dengan pengundi muda, yang membentuk sebahagian besar pengundi di DUN Mahkota bakal menjadi penentu.
“Syed Hussein yang juga Ketua Pemuda Kluang mempunyai lebih daya tarikan berbanding calon PN, Coach Haizan yang berusia 61 tahun, menjadikan isu usia ini faktor utama dalam pola pengundian.
“Selain itu beza gerak kerja jentera yang mana BN mendapat sokongan penuh daripada komponen Kerajaan Perpaduan khususnya DAP, MCA, dan MIC yang aktif berkempen untuk Syed Hussien.
“Tiada lagi isu antara Umno dengan MCA dan MIC yang akan memobilisasi undi daripada pengundi Cina dan India, sekali gus meningkatkan peluang kemenangan BN,” katanya.
Beliau berkata, PN juga mengakui mereka sukar untuk meraih undi daripada pengundi Cina yang membentuk 34% pengundi di Mahkota walaupun mereka cuba mengeksploitasi isu sijil halal.
“Kegagalan PN untuk memenangi sokongan pengundi Cina memberi kelebihan besar kepada Syed Hussien, yang mendapat bantuan penuh daripada DAP dan MCA dalam menarik undi komuniti Cina sekali gus berpeluang besar untuk menang dengan selesa,” katanya.
PRK DUN Mahkota diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zin pada 2 Ogos lalu.
Pada PRN Johor yang diadakan pada Mac 2022, Sharifah Azizah yang juga calon BN menang kerusi DUN Mahkota dengan majoriti 5,166 selepas memperoleh 16,611 undi.
Beliau menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Taqiuddin Cheman yang memperoleh 11,445 undi. Calon PN, Mohamad Nor Lingan pula meraih 7,614 undi manakala calon Warisan, Mohamed Noor Suleiman mendapat 555 undi. – 27 September, 2024