‘Jiwa merdeka Aleesa, Srinisha dan Wei Syuen’ – G Manimaran

Mereka akan menjadi saksi masa depan negara. Berikan mereka panduan dan hulurkan mereka sokongan padu

1:00 PM MYT

 

DUA tahun lalu, tatkala kesedihan mengisi keluarga kami berikutan kehilangan insan tersayang, sikap murni keluarga jiran sedikit sebanyak mengubati kami.

Ya, keluarga itu telah menzahirkan satu contoh yang luar biasa. Sikap murni mereka tidak dapat dilupakan. Ia masih segar.

Kami bangga memiliki jiran yang memahami saat-saat sukar dilalui semasa pemergian anggota keluarga tersayang.

Sehari selepas kita menyambut Hari Malaysia, pada 17 September 2022, isteri saya, seorang guru, meninggalkan kami.

Pada hari yang sama, keluarga Mohd Akmal sedang membuat persiapan untuk menyambut ulang tahun hari kelahiran Nur Adria Aleesa, anak ketiga mereka yang berusia lima tahun.

Persiapan hampir sempurna. Sejak awal lagi mereka telah pun mengundang anak saya, Srinisha untuk hadir sama.

Sebagai tanda hormat pemergian isteri saya, keluarga Mohd Akmal memutuskan untuk membatal dan menangguhkan sambutan tersebut.

Kami sama sekali tidak menyangka tindakan positif mereka. Pada waktu malam pula mereka menghantar makanan ‘vegetarian’ kepada kami.

Jangan sama sekali cuba merosakkan wajah-wajah indah di Malaysia yang merupakan asas kepada kesejahteraan dan keamanan yang berkekalan. – Gambar ihsan Dr G Manimaran, 16 September, 2024

Lazimnya, bagi mereka beragama Hindu, hanya makanan ‘vegetarian’ dibolehkan sehingga upacara sembahyang sepenuhnya selesai diuruskan. Bermakna mereka faham akan pantang larang jika ada kematian dan sebagainya.

Saya terkejut! kami semua terkejut! kedua-dua tindakan mereka itu menyentuh hati kami.

Seorang lagi jiran, selain menyediakan khidmat kecemasan kepada isteri di saat-saat dia amat memerlukan bantuan perubatan dan ambulans pula tidak tiba-tiba, mengiringi saya sehingga ke hospital yang berhampiran dan telah berada di hospital sehingga segala urusan yang berkaitan dikendalikan selepas isteri menghempuskan nafas terakhir.

Malah, ketika setiap kali Ramadan, mereka akan turut berkongsi makanan. Satu lagi keindahan hati murni jiran tetangga.

Wow, sungguh terharu memiliki jiran-jiran seperti ini. Kami sudah berjiran hampir dua dekad. Tahun depan kami boleh menyambut ulang tahun ke-20 kejiranan kami.

Saat-saat seperti ini memeriahkan sambutan Hari Malaysia.

Kita pernah membaca sikap murni dan budiman rakyat pelbagai kaum, yang dipaparkan menerusi media tradisional dan media sosial.

Kesemua itu menambah kelebihan dimiliki negara kita. Ia juga menggambarkan keunikan aset yang tidak boleh dijual beli.

Apa yang saya dan kami alami ini satu lagi contoh, yang akan menambah senarai keunikan, keindahan dan warna-warni Malaysia.

Semua ini perlu diwarisi demi mengindahkan lagi tanah air dan bagi kita meninggalkan kepada generasi akan datang supaya ciri-ciri itu kekal selama-lamanya.

Jangan sama sekali cuba merosakkan wajah-wajah indah di Malaysia yang merupakan asas kepada kesejahteraan dan keamanan yang berkekalan.

Hari ini September 16 tanggal keramat, kita menyambut ulang tahun Hari Malaysia kali ke-61.

Ironinya, Malaysia jauh berbeza berbanding banyak negara. Tidak dapat dinafikan bahawa masih ada kekurangan di sana di sini.

Pun begitu tanah air tetap aman untuk kita kekal bahagia sepanjang masa. Suasana damai memang tiada tanding.

Sebab itu lebih tiga juta rakyat asing membanjiri Malaysia untuk mencari mata pencarian lalu membawa sebahagiannya ke negara mereka. Dan, kekal sebagai destinasi pelancongan utama dunia.
 
Malaysia tetap negara kita.
 
Toleh kanan, toleh kiri, kita menyaksikan konflik dalaman di banyak negara setiap hari. Konflik baharu sering menghantui negara dan rantau lain.

Juga pergeseran, pertikaian dan peperangan di antara negara. Konflik geopolitik turut memberi tempias kepada kita.

Apapun Malaysia tetap indah dan aman bagi ramai di antara kita.

Sebahagian rakyat kita turut berpandangan dan melemparkan tanggapan kurang menyenangkan dengan mengatakan Malaysia juga akan berhadapan dengan kemungkinan sama, dibadai konflik, krisis atau pertikaian yang boleh menggugat negara, pada satu hari nanti.

Kita perlu mengelakkan apa jua tanggapan sedemikian. Kita perlu menafikan atau menidakkan tanggapan dan pandangan seperti itu.

Malaysia masih bebas daripada krisis dan konflik yang meletakkan rakyat dalam siri kesukaran hidup. Kita perlu mewariskan bumi yang aman dan damai ini untuk generasi akan datang.

Bukan kita sahaja menikmati pada hari ini, dan meninggalkan situasi yang sukar dan pedih serta menyakitkan kepada generasi akan datang.

Sambutan Hari Kebangsaan 2023 di Dataran Putrajaya
Meskipun ada usaha pihak-pihak tertentu yang mahu merosakkan perpaduan negara, tetapi keadaan masih dalam kawalan. – Gambar fail Scoop, 16 September, 2024

Biarlah keindahan hari ini kekal selama-lamanya.

Kita perlu memastikan generasi-generasi akan datang kekal menikmati suasana kondusif, disusuli kehidupan yang berkualiti turun-temurun.

Kita perlu mendirikan tekad ini dengan kuat dalam diri kita. Mari kita buat ikrar padu sempena sambutan Hari Kemerdekaan kali ke-67, demi negara dan generasi akan datang.
Kita tiada pilihan!

Malaysia bertuah. Rakyatnya juga amat bertuah. Ini kerana kita masih merasai keindahan hidup yang indah, aman dan tenang. Tiada yang terganggu. Tiada yang tergugat.

Meskipun ada usaha pihak-pihak tertentu yang mahu merosakkan perpaduan negara, tetapi keadaan masih dalam kawalan.

Walaupun kita pernah diuji isu-isu sosial, tetapi rata-rata kita masih dapat bergerak di luar rumah untuk apa jua tujuan tanpa rasa takut dan tenang.

Kita boleh berada di mana-mana sahaja untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Itulah keunikan dan kelebihan sebuah negara bertuah yang bernama Malaysia.

Saya sebahagian daripada mereka yang lahir sembilan tahun selepas negara merdeka. Pada Oktober 1966.

Di sebuah estet, yang menjadi lapangan kepada komoditi pokok getah dan kemudian kelapa sawit, yang terletak di Jalan Paloh-Yong Peng, Johor.

Paloh, sebuah pekan di daerah Kluang, terdiri daripada lebih satu dozen estet dan juga kawasan Felda.

Di usia kecil pernah menyaksikan impak penguatkuasaan perintah darurat yang kini sudah tidak ada dalam perjalanan kehidupan sosial di negara kita.

Walaupun tidak mengerti punca penguatkuasaan darurat ketika itu, tetapi sekatan polis dari semasa ke semasa ketika itu sering memberikan saya mesej khusus mengenai sekatan perjalanan yang mengehadkan perjalanan orang ramai bagi memastikan keamanan terpelihara.

 Kadangkala kedengaran cerita daripada ibu bapa dan orang lain. Sekatan perjalanan terbaharu dirasai semasa pandemik COVID-19 selepas satu tempoh yang lama. Bayangkan sejauh mana kebebasan kita telah terbatas dan dikawal.

Rakyat kekal bersatu walaupun adanya detik-detik cabaran dan ujian pada masa itu.

Kini Paloh sudah jauh berbeza berbanding empat dekad yang lalu, sebahagian masa saya habiskan di Lembah Klang untuk melanjutkan pelajaran dan seterusnya bekerja dan mendirikan rumah tangga.

Saya lahir di Ladang Kempas. Kemudian dibesarkan di sebuah estet yang jauhnya kira-kira lapan kilometer dari Ladang Kempas.  Estet yang didiami oleh pekerja pelbagai kaum. Tiada pekerja asing ketika itu.

Jiran saya pelbagai budaya, pelbagai agama dan pelbagai kaum. Sebelah kiri orang Melayu. Jiran rumah di hadapan pula Cina.

Ladang Chin Moh ‘berjiran’ dengan Ladang Mados dan Felda Paloh. Makan nasi daun pisang dan nasi dulang bersama kawan pelbagai kaum adalah perkara biasa. Kenduri majlis kahwin akan membawa bersama semua kaum.

Sambutan Deepavali, Aidilfitri, Tahun Baharu Cina dan Krismas – yang diiringi jamuan raya hidangan pelbagai budaya dan kaum adalah satu perkara biasa, yang sangat dinantikan-nantikan, terutama kanak-kanak.

Semua orang akan berkumpul di ruang legar pejabat pengurusan ladang untuk menikmati hidangan yang enak.

Makanan satu perkara. Semangat kekitaan dan kebersamaan akan membawa keceriaan dalam kalangan penduduk setempat.

Kami semua menjangkakan situasi yang sama akan dirasai di kawasan dan wilayah lain di Malaysia. Kami pun diajar begitu di sekolah, menerusi subjek geografi, sejarah dan pendidikan sivik.

Suasana itu masih dirasai. Kedua-dua estet itu masih ada, tetapi persekitaran sudah berubah.  
Pekerja-pekerja asing sudah menggantikan rakyat tempatan.

Pokoknya, Malaysia kekal sebagai sebuah negara indah, menjadi tarikan ramai – pekerja asing dan pelancong.

Bermakna Malaysia mempunyai keunikan yang perlu dipertahankan dan diwarisi demi generasi akan datang.

Apabila setiap kali tiba cuti sekolah, ketika berada di sekolah menengah, saya akan ‘angkat kaki’ ke Batu Pahat semata-mata untuk berkampung di dusun durian milik pengurus estet saya membesar.

Satu suasana lain yang membolehkan saya mengenali dengan mendalam komuniti Cina. Di dusun itu pun ada komuniti Melayu. Banyak lagi peluang untuk memahami satu sama lain.

Selepas menghabiskan pendidikan awal di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Paloh, giliran untuk mengalami pendidikan sekolah menengah yang pelbagai kaum.

Proses pembelajaran di sekolah menengah memberikan pengalaman yang baharu.

Seterusnya di sekolah tinggi dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – yang popular dengan penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam pengajian – satu lagi persimpangan yang membawa kepada pengenalan kepelbagaian kaum.

Malah, di UKM juga saya berdepan satu lagi pengalaman baharu – menghalusi dan mendalami soal-soal sosiopolitik yang sebenar, yang turut dicerminkan dalam landskap politik kebangsaan pada hari ini.

Selaku penganalisis pilihan raya, ramai tanya saya, sama ada pengamal media mahupun orang awam mengenai punca dan impak keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) 18 bulan yang lalu.

Pandangan saya kepada mereka mudah: “Ia banyak berkait rapat dengan perkembangan sepanjang empat dekad yang lalu, termasuk politik kampus yang menjadi akar umbi kepada tuaian pada hari ini.

“Bagi saya bukan sesuatu yang mengejutkan… sudah dijangkakan, akhirnya ia berlaku, menjadi kenyataan”.

Detik-detik positif itu hanya sebahagian daripada puluhan pengalaman menarik saya daripada sudut semangat perpaduan, hormat-menghormati dan saling mengenali satu sama lain.

Negatif pun ada. Kita hanya perlu mengambil aspek yang positif di sebalik harapan kita kekalkan keharmonian, kebahagiaan, keamanan dan kesejahteraan negara dan masyarakat pelbagai kaum demi generasi akan datang.

Saya mempunyai satu impian kecil. Sudah lama sebenarnya, iaitu menubuhkan sebuah kelab perpaduan dalam kalangan anak-anak jiran, bagi menghimpunkan jiwa anak muda pelbagai kaum.

Impian itu belum menjadi kenyataan. Mungkin tidak lama lagi.

Pada tahun 2015 anggota keluarga saya bertambah. Kini anak saya berumur sembilan tahun.

Srinsiha dan dua rakannya, Nur Adria Aleesa Mohd Akmal dan Tan Wei Syuen merakamkan detik bersejarah mereka, julung kali, sempena sambutan Bulan Kebangsaan 2024 dengan mengenakan pakaian tradisional masing-masing baru-baru ini.

Kemungkinan ini detik awal untuk menubuhkan kelab perpaduan kelak. Kita perlu menggalakkan tunas semangat perpaduan dari awal lagi.

Sambutan setiap tahun ini juga menjadi pengukur sejauh mana kita bersatu padu mempertahankan kemerdekaan yang kita capai pada tahun 1957, dan kemudian pembentukan Malaysia.

Perpaduan boleh dilihat daripada pelbagai sudut termasuk bagaimana kita memahami budaya orang lain, bergaul dengan rakan-rakan kaum dan agama lain serta banyak lagi. – Gambar ihsan Dr G Manimaran, 16 September, 2024

Ramai mengatakan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia semakin tidak kukuh. Semakin rapuh, dakwa mereka.

Sebenarnya tidak. Saya melihat daripada sudut berbeza.

Perpaduan masih kukuh dalam kalangan kita. Ini hakikat! Saya ada sebab yang khusus.

Perpaduan boleh dilihat daripada pelbagai sudut. Salah satu, bagaimana kita memahami budaya orang lain. Bagaimana kita bergaul dengan rakan-rakan kaum dan agama lain. Banyak lagi.

Semoga Nur Adria Aleesa, Srinisha dan Wei Syuen diberikan segala kekuatan untuk mewarisi negara yang aman dan damai.

Mereka akan menjadi saksi masa depan negara. Berikan mereka panduan dan hulurkan mereka sokongan padu. Selamat Hari Malaysia 2024. – 16 September, 2024

Dr G. Manimaran ialah penganalisis pilihan raya dan penulis bersama buku Pilihan Raya Demokrasi Di Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Mentadbir

Topics

 

Popular

FashionValet a loss-making entity before and after Khazanah, PNB’s RM47 mil investment

GLICs bought stakes in 2018, company records show total RM103.3 million losses after tax from 2017 to 2022

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Dublin-based M’sian child psychiatrist who groomed, sexually abused teen jailed for 8.5 years

Amirul Arif Mohd Yunos pleads guilty to six charges of sexual crimes against minor, banned from practising the field in Ireland from now on

Related