Hidupkan kembali Muafakat Nasional? Hadi jangan mimpi siang hari, kata Veteran Umno

Setiausaha Veteran Umno, Datuk Mustapha Yaakub berkata, pemimpin Umno termasuk Presidennya juga tidak akan dengan mudah membuat keputusan untuk bekerjasama dengan PAS

7:10 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang diingatkan supaya tidak bermimpi di siang hari untuk parti Islam itu bekerjasama kembali bersama Umno menerusi Muafakat Nasional (MN).

Setiausaha Veteran Umno, Datuk Mustapha Yaakub berkata, tidak ada pemimpin Umno yang sanggup bersama PAS bagi menghidupkan semula MN.

“Semua pengkhianat yang disingkirkan telah bersama PAS. Mereka yang digantung masih jadi ahli Umno. Yang dalam Umno tetap setia dengan Umno.

“Jadinya Hadi janganlah bermimpi di siang hari. Dia juga tidak perlu meletak syarat kononnya kerjasama itu boleh dilakukan asal bukan dengan Zahid kerana Presiden Umno juga tidak ingin untuk berkerjasama dengannya.

“Kenyataan bodoh Hadi ini macamlah cerita pokok tiba-tiba bergoyang tanpa angin dan ribut. Mungkin hantu raya yang menggoncang pokok itu ,” katanya kepada Scoop hari ini.

Terdahulu Abdul Hadi mengesahkan usaha untuk menghidupkan kembali MN yang menyatukan orang Melayu, Islam dan Bumiputera, dilakukan tanpa penglibatan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Bercakap pada sidang media sempena Muktamar Tahunan PAS Pusat ke-70 hari ini, beliau berkata perbincangan dibuat tanpa kehadiran Ahmad Zahid sewaktu Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu sedang bercuti.

Selain itu Mustapha berkata, pemimpin Umno termasuk Presidennya juga tidak akan dengan mudah membuat keputusan untuk bekerjasama dengan PAS.

“Nasihat kepada Hadi supaya berhentilah merapu, semakin tua semakin melalut.

“Sama ada Zahid atau sesiapa saja pemimpin Umno yang ada sekarang tidak bodoh untuk membuat keputusan bersama PAS dan Hadi,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim pula berpandangan kesediaan PAS untuk menjalinkan semula kerjasama bersama Umno melalui MN sebagai langkah sangat baik.

Beliau berkata, kerjasama itu pastinya satu perkara yang sangat dialu-alukan demi penyatuan orang Melayu dan Bumiputera.

“Saya tak pernah sekalipun dalam TikTok tak sebut perkara itu (cadangan untuk kerjasama PAS-Umno). Penyatuan orang Melayu di Malaysia ialah 62 peratus, Bumiputera campur Sabah, Sarawak 70 peratus.

“Cadangan ini baiklah, ini terbaik dalam dunia, saya yakin ahli Umno peringkat akar umbi boleh menerima perkara itu dengan baik,” katanya. – 14 September, 2024

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

FashionValet a loss-making entity before and after Khazanah, PNB’s RM47 mil investment

GLICs bought stakes in 2018, company records show total RM103.3 million losses after tax from 2017 to 2022

Related