Penjaja di Zon D Taman Tasik Titiwangsa tiada pilihan, terpaksa berniaga walau lesen tidak disambung

Peniaga tersebut tidak mempunyai alternatif lain kerana berniaga merupakan satu-satunya mata pencarian mereka sejak bertapak di situ lebih 15 tahun lalu.

12:00 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kebanyakan peniaga di Tapak Penjaja Zon, Taman Tasik Titiwangsa, di sini, terpaksa menjalankan aktiviti perniagaan seperti biasa meskipun lesen mereka sudah tamat tempoh sejak 1 September lalu.

Bercakap kepada Scoop, Pengerusi Persatuan Peniaga-Peniaga Kecil Taman Tasik Titiwangsa (PPPKTT), Ahmad Zamree Fauzi berkata mereka terpaksa mengambil keputusan itu kerana ia merupakan sumber utama pendapatan dan dalam masa sama kawasan itu adalah strategik.

Tindakan itu, katanya, bukan kerana mereka ingkar arahan sebaliknya persatuan masih menunggu jawapan rasmi daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berhubung rayuan yang dibuat untuk menyambung semula lesen perniagaan di situ.

“Kami memang berniaga macam biasa kerana sehingga kini tidak mendapat maklum balas daripada DBKL.

“Saya (persatuan) tidak mempunyai akses langsung (dengan pihak DBKL yang bertanggungjawab dalam isu ini) namun pegawai khas ada berjanji dengan kami, namun sehingga hari ini tidak mendapat maklum balas.

“Jadi, bila mereka tidak menghubungi kami, kami membuat anggapan mereka tidak berminat nak selesaikan masalah peniaga-peniaga ini,” katanya pada Scoop.

Scoop sebelum ini melaporkan PPPKTT mempersoalkan tindakan DBKL yang enggan menyambung lesen 15 penjaja di Tapak Penjaja Zon D, di sini, sedangkan mereka tidak pernah ingkar dan mengikut peraturan yang ditetapkan.

Sementara itu, Penaung dan Penasihat PPPKTT, Datuk Gulam Muszaffar Gulam Mustakim pula berkata DBKL sewajarnya bersikap timbang rasa kerana Zon D telah diwartakan untuk peniaga berlesen.

Menurutnya, peniaga tersebut tidak mempunyai alternatif lain kerana berniaga merupakan satu-satunya mata pencarian mereka sejak bertapak di situ lebih 15 tahun lalu.

“Sehingga kini, pihak berkaitan masih belum memberikan maklum balas terhadap rayuan yang dikemukakan PPPKTT, sudah tentu peniaga-peniaga ini perlu berniaga untuk meneruskan kelangsungan hidup.

“Kalau tidak berniaga, bagaimana mana mereka nak beri anak-anak makan, harap DBKL ada empati terhadap golongan ini sebab Zon D sudah digazetkan sebagai tapak niaga sah mereka, kenapa tidak disambungkan terus lesen mereka? Itu yang jadi persoalan sekarang ini.

“Pihak persatuan tiada langkah alternatif untuk penjaja-penjaja ini, sebab itu kami buat rayuan. Kami mahukan keadilan untuk mereka berhubung kes ini, sebab mereka bayar lesen, bukannya tak bayar lesen,” katanya.

Sehingga kini, jelas beliau, persatuan masih belum menerima maklum balas daripada DBKL walaupun perbincangan sudah diadakan pada 18 Julai lalu.

Tapak Zon D melibatkan 15 penjaja yang berniaga makanan, minuman, permainan kanak-kanak dan perkhidmatan sewaan basikal. – 6 September, 2024

Topics

 

Hangat

Umno on life support: time for Anwar to pull the plug and bury the loonies – Tuan Muda

The writer doesn't mince his words when he calls for curtains on Malaysia's once premier Malay party

Lim Guan Eng faces party rebellion as grassroots call for his ouster

Party insiders say growing dissent over Lim’s leadership, with critics blaming him for internal strife and strategic missteps

Grab Malaysia teams up with 100 drivers, riders to bring CNY joy to the underprivileged

More than 300 people across charity homes, nursing care centres, PwD organisations receive ‘bai nian li wu’ during the visits

Related