KUALA LUMPUR – Kerajaan Kedah akan membawa kes tuntutan bayaran caj air mentah Sungai Muda ke atas Pulau Pinang ke mahkamah.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, perkara itu juga adalah atas saranan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow sebelum ini.
“Pulau Pinang yang kata bawa ke mahkamah, dia yang kata nak tuntut bayaran kena bawa ke mahkamah.
“Dia yang suruh, bukan saya nak. Sila baca kenyataan dia, kita akan buatlah.
“Kerugian tidak tahu berapa, mungkin sejak tuhan buat dunia. Mungkin RM50 juta setahun,” katanya pada sidang media selepas Sidang Kemuncak Empat Kerajaan Negeri (SG4) di Bangi, hari ini.
Terdahulu, kerajaan Pulau Pinang bulan lalu, menggesa kerajaan Kedah menuntut bayaran caj air mentah Sungai Muda yang diambil negeri itu menerusi mahkamah, bukan di media atau secara terbuka.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow membuat gesaan itu ketika mengulas laporan akhbar bahawa kerajaan Kedah akan terus menuntut bayaran caj air mentah dari Pulau Pinang, yang ketika ini memperoleh 84% sumber airnya dari Sungai Muda.
Sebelum ini, Exco Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar Kedah Mohamad Yusoff @ Munir Zakaria dilapor berkata, Pulau Pinang masih gagal membuat bayaran kepada Kedah walaupun tuntutan dibuat sejak 2010.
Kedah sebelum ini mengemukakan tuntutan bertulis kepada Pulau Pinang untuk mengenakan caj air mentah sebanyak RM50 juta setahun, berikutan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) mendapat bekalan air dari Sungai Ulu Muda yang berpunca dari Kedah. – 2 September, 2024