KUALA LUMPUR – Grab Malaysia berjaya mengumpul lebih RM1 juta sumbangan untuk menyokong kerja-kerja kemanusiaan Mercy Malaysia, sejak November 2023.
Dalam kenyataannya, syarikat berkenaan berkata pencapaian itu adalah bukti usaha antara Grab, pengguna, rakan pemandu dan penghantar Grab yang berganding bahu membiayai usaha bantuan dan pemulihan organisasi itu.
Dana itu, katanya termasuk sumbangan sukarela daripada pengguna melalui GrabPay dan GrabRewards, yang dipadankan oleh Grab Malaysia.
“Grab Malaysia turut bekerjasama dengan Mastercard yang menyumbang satu peratus daripada nilai pesanan Grab Food untuk pesanan berjumlah RM30 ke atas dan ia juga termasuk persetujuan menyumbang sebanyak RM200,000 melalui Dana GrabForGood,’’ katanya.
“Sebagai sebuah jenama tempatan, kami mahu terus terlibat dalam peningkatan komuniti yang kurang diberi layanan dan memerlukan bantuan.
“‘Inisiatif kami bersama Mercy Malaysia merupakan lanjutan dari usaha kami selama ini dan pengguna telah menunjukkan kemurahan hati yang luar biasa dan sumbangan mereka membawa perubahan nyata dalam kehidupan komuniti yang terjejas akibat banjir,’’ kata Pengarah Urusan Grab Malaysia, Adelene Foo.
Jelasnya, sumbangan yang terkumpul akan digunakan untuk membiayai usaha bantuan di seluruh Malaysia serta membantu mereka yang terjejas akibat konflik.
Tabung bantuan banjir
Grab Malaysia telah bekerjsama dengan Mercy Malaysia sejak 2021 untuk kempen #BantuanBanjir yang menyokong pemulihan komuniti yang terjejas akibat banjir di seluruh Malaysia.
Ia termasuk menyediakan bantuan segera seperti makanan, air bersih dan bekalan asas.
Sumbangan itu akan digunakan untuk memperoleh bahan mentah dan tenaga kerja yang diperlukan untuk memulihkan infrastruktur kawasan, membantu membina semula rumah dan sekolah serta membaik pulih sistem pembentungan.
Semasa inisiatif sukarelawan di Kampung Kuala Jengal, Terengganu baru-baru ini, pasukan Grab dapat bertemu dengan Sepiah, salah seorang penerima kempen #BantuanBanjir dan berkongsi bahawa rumahnya yang terletak berhampiran sungai, terjejas teruk akibat banjir.
Bantuan kemanusiaan
Selain banjir, Grab Malaysia juga bekerjasama dengan Mercy Malaysia pada 2023 dan dana yang dikumpulkan akan digunakan untuk pelbagai aktiviti sokongan, termasuk pengagihan makanan dan air, sokongan kesihatan mental, bantuan perubatan, serta menyumbang kepada penyediaan dan pengendalian pusat-pusat perubatan.
Dalam pada itu, Presiden Mercy Malaysia, Datuk Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus berharap kerjasama dengan Grab Malaysia dapat diteruskan bagi memperkukuhkan tindak balas kecemasan dan membantu komuniti yang terjejas.
“Kami amat berterima kasih atas kemurahan hati yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia dan menghargai sokongan Grab dalam bantuan banjir dan bantuan kemanusiaan yang kami anjurkan secara berterusan dalam masa kritikal ini,’’ katanya. – 21 Ogos, 2024