KUALA LUMPUR – Ibu kepada salah seorang kanak-kanak yang terperangkap hampir 11 jam di dalam sebuah lif di sebuah pangsapuri di Desa Petaling, di sini, semalam, sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pengurusan pangsapuri tersebut.
Bercakap kepada Scoop, Fospaliza Md Shariff, 48, memberitahu perbincangan mengenainya sedang dilakukan dengan suaminya susulan kejadian itu dan disebabkan pihak pengurusan pangsapuri didakwa tidak memeriksa kamera litar tertutup (CCTV) hingga anaknya, Faiq Adiwira Rosli, 11, dan rakannya, Muhammad Harith Absyar, 10, terperangkap dalam lif.
Sedangkan ketika itu, katanya, Faiq dan Harith telah melakukan pelbagai cara termasuk menjerit meminta tolong, mengetuk pintu lif dan akhirnya tertidur kerana keletihan serta kelaparan selepas jeritan mereka tidak disedari.
Kedua-duanya hanya diselamatkan pada jam 1 pagi tadi.
“Saya sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak pengurusan pangsapuri di atas kelalaian mereka.
“Siapa tak risau anak hilang, luruh jantung saya bila anak tidak balik ke rumah dengan macam-macam kes (jenayah) yang berlaku sekarang.
“Saya jadi marah bila pihak pengurusan tidak sentiasa memeriksa CCTV, kalau mereka sentiasa periksa, mungkin anak saya dan rakannya hanya terperangkap dalam tempoh satu atau dua jam sahaja, ini sampai 11 jam.
“Budak-budak itu pun sampai tertidur dalam keadaan kelaparan selepas semua usaha dilakukan seperti tekan loceng kecemasan, menjerit minta tolong sambil ketuk pintu lif tetapi tiada seorang pun yang perasan,” katanya.
Fospaliza berkata, tindakan undang-undang itu juga bagi memastikan perkara sama tidak berulang pada masa depan.
Ini kerana, insiden sama juga pernah berlaku melibatkan penduduk lain tetapi mereka bernasib baik kerana membawa telefon bimbit ketika kejadian itu berlaku dan dapat menghubungi orang lain bagi meminta pertolongan.
“Saya harap perkara seperti ini tidak lagi berlaku pada masa akan datang. Banyak kali dah berlaku kejadian seperti ini tetapi nasib baik orang itu ada telefon bimbit, jadi dia boleh telefon untuk minta pertolongan dalam masa singkat.
“Sekarang ini, pihak pengurusan kata mereka akan siasat dan akan beri ‘full report’ kepada kami berhubung kejadian yang berlaku melibatkan anak saya,’’ katanya ketika dihubungi.
Terdahulu, media melaporkan dua kanak-kanak ditemui selamat selepas hampir 11 jam terperangkap di dalam lif sejak jam 2.15 petang sebelum diselamatkan pada jam 1 pagi Selasa.
Menurut Fospaliza, Faiq yang merupakan anak kelima daripada enam beradik itu meminta izin untuk keluar membeli pau di kedai berdekatan sebelum terperangkap dalam lif berkenaan.
Menyedari anaknya masih tidak pulang ke rumah pada jam 7 petang semalam, Fospaliza kemudiannya bersama suami mencari anaknya di kawasan sekitar perumahan sebelum anaknya dibawa pulang oleh pengawal keselamatan ke rumah mereka pada jam 1 pagi tadi.
“Saya memang letak had, anak-anak mesti balik ke rumah jam 7 petang. Bila Faiq masa itu tak balik lagi, saya terus mencari di kawasan sekitar termasuk bertanyakan pengawal keselamatan sama ada mereka nampak atau tidak keberadaan anak saya.
“Saya, suami dan anak-anak yang lain cari bergilir-gilir dan tak pastikan rumah dalam keadaan tiada orang… takut-takut ketika kami cari itu, dia dah balik rumah.
“Sampailah jam 1 pagi, pengawal ketuk rumah hantar anak saya balik dan memang keadaan dia masa itu lemah sebab dalam kelaparan sebab tak makan dari tengah hari. Saya tanya juga pada dia takut tak lepas ni nak naik lif, dia cakap kalau berlaku lagi (terperangkap), mungkin dia akan trauma,” katanya. – 20 Ogos, 2024