KUALA LUMPUR – Naratif digunakan Barisan Nasional (BN) bahawa rakyat Kelantan tidak terbela di bawah kerajaan PAS membolehkan gabungan itu merampas kembali kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.
Penganalisi politik, Prof. Madya Mazlan Ali berkata, Perikatan Nasional (PN) pula disifatkan gagal dalam naratifnya yang berterusan menggunakan isu nasional sebagai modal sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) terbabit.
“Umno berjaya kawal, yang menonjol di Nenggiri isu tempatan terutama isu pembalakan, tanah adat, tanah peneroka dan infrastruktur seperti bekalan air.
“BN mampu memastikan pengundi putih mereka turun mengundi malah turut mendapat sokongan padu hampir keseluruhan masyarakat Orang Asli.

“BN dalam kerajaan Persekutuan juga memberi kelebihan pada PRK ini kerana isu pembangunan agak ketara dan apabila mesin juruwang automatik (ATM) disediakan, ia sekali gus menunjukkan bahawa BN sentiasa membela rakyat di Nenggiri.
“Jadi rakyat nampak yang serius dan mampu menyediakan kemudahan adalah kerajaan Persekutuan dan BN, ini antara faktor menyumbang kemenangan majoriti besar BN di Nenggiri,” katanya kepada Scoop hari ini.
Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri menyaksikan calon BN, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani menang dengan majoriti 3,352 undi selepas memperoleh 9,091 undi, berbanding 5,739 undi diraih calon PN, Mohd Rizwadi Ismail.
BN mencatatkan majoriti di 17 daripada 20 pusat mengundi, iaitu Tohoi, Pos Simpor; Sungai Puian; Sungai Jenera, Sungai Wias, Sungai Asap; Meranto; Bertam Baru; Jeram Tekoh; Renok; Kuala Sungai; Bertam Lama; Kampung Star; Perasu; Serian; Limau Kasturi; dan Jerek.
Tiga lagi pusat mengundi, iaitu Kesedar Limau Kasturi, Ladang SEDC dan Pasir Tumboh, memihak kepada PN.
Selain itu Mazlan berkata, tindakan PAS membenarkan ahlinya sertai Bersatu untuk menjadi calon juga dilihat strategi ‘makan diri’ dan dijadikan modal lawan.

“Kemenangan BN beri mesej, walaupun nampak tidak ada masalah untuk PAS ‘meminjamkan’ calonnya kepada Bersatu, namun tindakan ini jadi senjata kepada BN.
“Sebenarnya tiada kepercayaan oleh PAS terhadap Bersatu, sebab itu letak calon daripada ahlinya dan kerana itu ada boikot kalangan ahli Bersatu, keluar parti masuk Umno.
“Rakyat melihat, kenapa tak beri peluang kepada Bersatu untuk letak calon mereka, jadi nampaknya strategi ini makan diri,” katanya.

Sementara itu Geostrategis dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Prof. Madya Azmi Hassan berkata, kemenangan BN memperlihatkan keyakinan semula pengundi terhadap Umno dan BN.
“Peratusan keluar mengundi yang tinggi berbanding Pilihan Raya Negeri lalu menunjukkan penyokong parti itu kembali berkeyakinan.
“Umno parti yang kuat kerana berani menggesa DAP supaya tidak turun berkempen.
“Ini memberikan persepsi Umno kuat dan boleh pergi solo atau bersama Pakatan Harapan (PH), kekuatan persepsi ini (jadi) permainan minda yang mendorong ramai penyokong Umno keluar (mengundi) dan beri kemenangan yang agak selesa (kepada BN),” katanya. – 18 Ogos, 2024