Penyedia platform media sosial perlu letak notis hantaran AI: Fahmi

Fahmi Fadzil berkata, menjadi tanggungjawab penyedia platform media sosial tersebut berbuat demikian bagi menimbulkan kesedaran kepada pengguna supaya tidak tertipu dengan hantaran muat naik yang menggunakan unsur AI

3:52 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Semua platform media sosial perlu meletakkan tanda kecerdasan buatan Artificial Intelligence (AI) kepada hantaran AI bagi mengelak sebarang insiden tidak diingini terutama melibatkan kes penipuan.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, menjadi tanggungjawab penyedia platform media sosial tersebut berbuat demikian bagi menimbulkan kesedaran kepada pengguna supaya tidak tertipu dengan hantaran muat naik yang menggunakan unsur AI.

“Penjenayah sedang menyalahgunakan AI untuk menghasilkan kandungan palsu yang cuba menipu penonton seolah-olah itulah individu yang sedang bercakap dengan mereka.

“Khairul Aming, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Perdana Menteri telah pun menjadi mangsa.

“Pertemuan saya dengan (penyedia) platform media sosial di Singapura (baru-baru ini), saya telah tegaskan platform-platform juga wajib bertanggungjawab atas apa yang berlaku di platform (media sosial) mereka.

“Sekiranya sesuatu bahan itu dihasilkan melalui AI, seharusnya platform-platform ini meletakkan tanda ‘this is generated by AI’ (ini merupakan hantaran AI), secara automatiknya pengguna media sosial akan mengetahui itu adalah AI,” katanya kepada media ketika ditemui pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) bagi pengamal media sambilan antara Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang diadakan di Wisma Bernama, di sini hari ini.

Semalam pempengaruh yang juga usahawan popular, Khairul Aming mendedahkan ada pihak yang memanipulasi wajah dan suaranya menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk melakukan penipuan.

Khairul Aming atau nama sebenarnya Khairul Amin Kamarulzaman, 32, menerusi hantaran video di media sosial rasminya berkata beliau perlu tampil menjelaskan perkara itu bagi mengelak orang ramai menjadi mangsa pemerdayaan.

Dalam majlis sama, Fahmi memaklumkan program libat urus kementerian dengan pemegang taruh bagi tujuan Belanjawan 2025 berjalan baik setakat ini.

Menurutnya, hampir semua kementerian telah memulakan sesi perbincangan dengan pemegang taruh sebelum Belanjawan 2025 dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 18 Oktober depan.

“Kami mengalu-alukan maklum balas dari pelbagai sektor industri untuk berhubung dengan menteri atau ketua setiausaha sesebuah kementerian.

“Sekiranya mereka (pemegang taruh) mempunyai maklum balas, pandangan dan saranan yang mereka harapkan, pihak kementerian khususnya Kementerian Kewangan akan ambil kira dokumen sebelum Belanjawan 2025 (berlangsung),” katanya. – 15 Ogos, 2024

Topics

 

Hangat

IS launched ‘official’ Malay media group with IED drone manual, firm warns

An international security think tank has warned of the Islamic State terrorist group's latest tactic to expand its influence in Malaysia.  

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Related