KUALA LUMPUR – Jumlah kes membabitkan isu pencatutan adalah kecil dan terkawal secara keseluruhan di seluruh negara, selepas penyasaran subsidi diesel dilaksanakan sejak 10 Jun lalu.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, keadaan berkenaan membuktikan tahap pematuhan dalam kalangan sebahagian besar peniaga adalah baik.
Katanya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menghargai komitmen komuniti perniagaan yang tidak mengambil kesempatan untuk menaikkan harga barangan dan perkhidmatan pasca penyasaran subsidi diesel.
“Pada masa sama, KPDN akan terus memperkasa pemantauan di semua peringkat melalui Ops Kesan 2.0.
“Maklum balas awam adalah amat dialu-alukan,” katanya menerusi kenyataan.
Armizan berkata, hingga kelmarin, KPDN membuat pemeriksaan terhadap 24,666 premis perniagaan di seluruh Malaysia.
Ujarnya, dalam tempoh terbabit, KPDN juga menerima 83 aduan awam terkait isu kenaikan harga barang dan perkhidmatan pasca penyasaran subsidi diesel.
Manakala, katanya, sebanyak 244 notis bertulis dikeluarkan Bahagian Penguat Kuasa KPDN di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP).
“Daripada jumlah terbabit, setakat ini 10 kertas siasatan sudah dibuka untuk dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya,” katanya.
Ops Kesan 2.0 dilaksanakan sebagai persiapan memastikan tidak berlaku elemen pencatutan terhadap harga barang dan perkhidmatan susulan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.
Langkah itu adalah kesinambungan kepada Ops Kesan 1.0 yang dilaksanakan bagi memantau kesan pelaksanaan kenaikan Cukai Perkhidmatan pada 1 Mac lalu. – 6 Ogos,