KUALA LUMPUR – Seramai 17 individu disyaki pengikut ajaran sesat Millah Abraham ditahan di empat daerah sekitar Johor dalam operasi bersepadu pada Khamis lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, operasi khas dinamakan Ops Milab (Millah Abraham) itu diadakan serentak di Batu Pahat, Pontian, Muar dan Segamat.
Menurutnya, operasi itu dijalankan Bahagian Penguatkuasa, Jabatan Agama Islam Negeri Johor bersama Cawangan Khas Bukit Aman dan Cawangan Khas Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor Bahru, Polis DiRaja Malaysia (PDRM).
“Hasil operasi bersepadu, 17 individu diberkas kerana disyaki pengikut kepada ajaran Millah Abraham.
“Sebutan semula kes ditetapkan pada 6 Ogos ini.
“Ajaran terbabit difatwakan sesat di Johor pada 30 Julai 2015 dan diwartakan pada 28 April 2016 sebagai ajaran serta fahaman yang menyimpang daripada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah,” katanya menerusi kenyataan.
Mohd Fared berkata, kerajaan Johor memberi amaran dan akan mengambil tindakan tegas bagi membanteras dan mengekang sebarang penyebaran ajaran sesat.
Katanya, tindakan itu adalah berpandukan Enakmen dan perundangan yang berkuatkuasa.
Malah, beliau berkata, orang ramai diingatkan supaya tidak terpengaruh terhadap fahaman dan ajaran yang menyimpang daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
“Usaha membanteras ajaran Millah Ibrahim/Abraham kita teruskan. Tindakan tegas akan dikenakan kepada mana-mana pengikut ajaran sesat ini.
“Orang ramai hendaklah segera melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat sebarang ajaran mencurigakan,” katanya.
Selain menular di Johor, terdahulu ajaran sesat Millah Abraham turut dikesan di Selangor, sehingga Majlis Agama Islam Selangor (Mais) mendedahkan ajaran itu menggunakan beberapa modus operandi kepada pengikutnya.
Ia termasuk setiap pengikutnya perlu membayar wang untuk bertaubat, menuntut cerai ke atas pasangan yang tidak menyertai gerakan dan menggunakan kelas Al-Quran dalam talian bagi menarik pengikut baharu.
Modus operandi ajaran Millah Abraham dikatakan terbahagi kepada tiga, iaitu indoktrinasi ahli, propaganda dan perkaderan ahli, sekali gus ditetapkan sebagai menyeleweng dan bertentangan dengan ajaran Islam berdasarkan keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada 17 September 2015.
Dalam kenyataannya, Mais dilaporkan berkata, ajaran Millah Abraham dikaitkan dengan rangkaian Gerakan Pemuda Kahfi di Bogor, Indonesia yang diterajui Ahmad Musodiq, malah dipercayai berpusat di Cilimus Kuningan, Kota Cirebon, di Jawa Barat Indonesia yang diketuai Zubaedi Djawahir.
Pengikutnya juga meyakini ajaran itu adalah lurus lagi benar setelah jatuhnya Kerajaan Islam Abbasiyah, manakala Islam yang diamalkan pada hari ini adalah palsu.
Menerusi fatwa berkenaan, ajaran itu juga mempercayai agama Islam yang dibawa Nabi Muhammad SAW berakhir sejak kejatuhan kerajaan Islam dan diganti dengan agama baru iaitu Millah Abraham.
Pada masa sama, pengikutnya didakwa menggelar mereka yang tidak mengikuti ajaran itu sebagai sesat, kafir dan syirik serta wajib bertaubat dengan ajaran Millah Abraham.
Kumpulan itu juga menafikan kefarduan solat lima waktu dan solat Jumaat, selain mewajibkan berpegang dengan bai’ah. – 4 Ogos, 2024